Isyarat Jelas Tun M Semakin Merapu – Sohaimi

Isyarat Jelas Tun M Semakin Merapu – Sohaimi

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah isyarat jelas bahawa Tun Dr. Mahathir bukan saja semakin merapu, malah kepemimpinannya sudah tidak lagi relevan hari ini.

Kenyataan Sultan Johor itu membuktikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sudah mengubah dasar perjuangannya demi mencapai kepentingan peribadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata rakyat perlu mengambil iktibar dan berfikir secara rasional dalam menilai teguran Sultan Johor terhadap Dr. Mahathir.

“Saya amat tertarik dengan apa yang Tuanku katakan bahawa sebelum ini orang itu (Dr. Mahathir) menolak media barat yang dikatakan cuba menjatuhkan negara, hari ini beliau pula yang mengiyakan laporan media barat.

“Sebenarnya siapa yang mudah lupa? Melayu atau Dr. Mahathir yang sudah lupa. Sebab saya kira orang Melayu masih ingat dan pegang lagi kata-kata Dr. Mahathir sebelum ini.

“Rakyat saya kira boleh menilai dengan bijaksana, zaman Dr. Mahathir sudah berlalu dan itu yang perlu beliau terima hakikatnya, perjuangannya jauh tersasar,” katanya.

Sohaimi berkata demikian ketika ditemui pada program mesra rakyat ziarah kasih di Selayang hari ini.

Kelmarin Sultan Johor menasihatkan Dr. Mahathir supaya berhenti mengganggu urusan pentadbiran negara serta negeri Johor kerana zamannya sudah berlalu.

Sementara itu, Sohaimi berkata tindakan Dr. Mahathir yang bersekutu dengan Lim Kit Siang yang dianggap rasis oleh beliau suatu ketika dulu tidak boleh diterima.

“Dulu beliau kata Kit Siang seorang yang rasis, anti Islam. Hari ini beliau pula satu kapal dengan Kit Siang. Jadi rakyat nilailah apa agenda Dr. Mahathir, perjuangan untuk rakyat atau diri sendiri,” katanya.

Leave a Reply