IRDA Diarah Jadikan Kawasan Lapang Johor Untuk Rekreasi

IRDA Diarah Jadikan Kawasan Lapang Johor Untuk Rekreasi

ISKANDAR PUTERI, 25 Feb — Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) diarah mengkaji usaha menaik taraf semua kawasan lapang di Johor kepada kawasan rekreasi.

Ini bagi memenuhi keperluan masyarakat yang ingin bergiat dalam aktiviti seperti berbasikal dan sebagainya, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Johor mempunyai banyak kawasan lapang tetapi dibiarkan tanpa pembangunan, katanya.

“Ia harus ditingkatkan sebagai kawasan rekreasi kerana ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan mereka yang terlibat dalam aktiviti berbasikal, malahan memanfaatkan keseluruhan masyarakat Johor,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Parlimen Gelang Patah, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata IRDA juga telah diarahkan untuk berkongsi hasil kajiannya dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan melaksanakan usaha terbabit.

Beliau berkata dalam masa yang sama, pihaknya serta sebuah syarikat swasta iaitu UEM Sunrise Bhd akan bekerjasama membangunkan sebuah taman rekreasi – Sireh Park di kawasan Gelang Patah di sini untuk kegunaan awam.

“Projek ini keseluruhannya seluas 343 ekar. Fasa pertama yang seluas 50 ekar akan dimulakan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM16 juta, manakala fasa seterusnya belum ditentukan.

“Dalam taman ini, disediakan tempat untuk aktiviti berbasikal sama ada berbasikal biasa ataupun ekstrem dan ia juga merupakan tambahan kepada usaha- usaha yang sedang dilaksanakan IRDA, PBT dan sebagainya.

“Ia juga bukan wujud hanya kerana ada kemalangan basikal baru-baru ini tetapi sememangnya perlu untuk masyarakat di Gelang Patah dan Iskandar Malaysia,” katanya.

Kemalangan itu meragut nyawa lapan remaja lelaki.

Sebelum ini, laporan berita menyebut mengenai beberapa gesaan daripada beberapa pihak agar kerajaan, sama ada pusat dan negeri, mempertimbangkan langkah bagi menangani aktiviti berbasikal di Johor Bahru.

Antaranya termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang mahukan kerajaan negeri mewujudkan satu trek perlumbaan basikal di Johor.

Leave a Reply