57 Program Dilaksana Bagi Bantu Usahawan PKS Dengan Peruntukan RM2.3 Bilion Tahun Ini

57 Program Dilaksana Bagi Bantu Usahawan PKS Dengan Peruntukan RM2.3 Bilion Tahun Ini

PONTIAN, 25 Feb  — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan 57 program untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata pelaksanaan program itu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion akan dijalankan bersama agensi-agensi MITI.

“Seramai 5,396 usahawan PKS akan menerima manfaat daripada program itu, antaranya ialah Program Peningkatan Prestasi dan Daya Tahan PKS, Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan serta Skima Anjakan Usahawan,” katanya kepada pemberita Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan MITI dan Agensi Daerah Pontian di sini.

Katanya beliau berharap PKS akan terus dibantu dan menjadi ikutan oleh agensi kementerian lain untuk melaksanakan program seperti MITI bagi melahirkan lebih ramai usahawan daripada pelbagai kaum.

Karnival Usahawan MITI merupakan antara 57 program yang akan dilaksanakan MITI.

Antara usahawan yang menyertai karnival itu, Noordiana Samudin berkata dengan program sedemikian, mereka dapat berjumpa dengan lebih ramai lagi usahawan lain sekali gus memperluaskan pasaran produk mereka.

Katanya program itu juga telah dapat membantunya memperkenalkan produknya dan meluaskan jaringan perniagaannya.

Leave a Reply