Tujuh Beranak Tinggal Di Kaki Lima Kedai Dapat Perhatian Wakil Rakyat

Tujuh Beranak Tinggal Di Kaki Lima Kedai Dapat Perhatian Wakil Rakyat

JOHOR BAHRU, 23 Feb — Nasib tujuh sekeluarga yang menjadikan kaki lima sebuah rumah kedai di Masai, di sini, sebagai tempat berteduh mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad yang melawat keluarga berkenaan hari ini.

Selain membawa barangan keperluan, Normala juga membantu menguruskan sijil perkahwinan, sijil kelahiran dan kad pengenalan anggota keluarga tersebut.

“Disebabkan tiada sijil perkahwinan, anak-anak mereka juga tiada sijil kelahiran. Jadi untuk hari ini kita selesaikan semua masalah dokumen dahulu, kemudian baru kita tengok perkara-perkara lain yang boleh kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga itu.

Mengulas lanjut, Normala berkata beliau difahamkan pasangan suami isteri daripada komuniti Sabah itu melangsungkan perkahwinan secara adat, justeru tidak mendaftarkannya di pejabat agama.

Kisah pasangan Al Daser Julasiri, 35 dan Norhidayah S Berry D, 25 bersama lima anak mereka iaitu Nurul Wahida, 9; Ainur Izaty, 8; Mohamad Nazriy, 6; Nurul Syazwani, 4 dan Mohamad Nizhar Alif, lapan bulan tular di laman sosial.

Bernama difahamkan keluarga itu tinggal di kaki lima tersebut sejak dua minggu lepas setelah dihalau dari rumah sewa mereka di Kampung Pertanian di sini dan mereka mendirikan papan-papan usang sebagai dinding yang melindungi ruang mereka di kaki lima berkenaan.

Al Daser pula tidak dapat bekerja sejak empat bulan lepas setelah mengalami bisul di bahagian belakang badan.

Normala berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Yayasan Pasir Gudang bagi membantu keluarga tersebut mendapat sebuah rumah, selain menghantar anak pasangan itu ke sekolah.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata empat anak pasangan tersebut layak menerima bantuan RM100 sebulan manakala bayi mereka dibantu RM50 sebulan.

Ketua Masyarakat Sabah di kawasan berkenaan, Ibrahim Taib berkata terdapat segelintir masyarakat Sabah yang kurang berkemampuan mengamalkan perkahwinan adat yang menyebabkan perkara-perkara seumpama itu berlaku.

“Memang tidak dinafikan ada masyarakat Sabah yang menghadapi masalah sama dengan keluarga ini berikutan faktor tidak berkemampuan selain masih berpegang kepada budaya.

“Akibatnya, mereka tidak mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama yang pada akhirnya menimbulkan masalah kepada mereka sendiri terutamanya kepada anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Norhidayah yang berkahwin pada usia 15 tahun berterima kasih atas keprihatinan masyarakat dan berharap anak-anaknya dapat diberi bantuan sewajarnya.

Leave a Reply