JDT Janji Beri Aksi Terbaik Bertemu Kelab Kemboja

JDT Janji Beri Aksi Terbaik Bertemu Kelab Kemboja

JOHOR BAHRU – Kekecewaan layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) mahu diketepikan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini mengalih tumpuan untuk kembali menjulang Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

Malah JDT, juara edisi 2015, mahu menunjukkan kesungguhan mereka dengan memberi aksi terbaik apabila berdepan kelab Kemboja, Beoung Ket Angkor FC dalam saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini, malam esok.

Bagi ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, kekalahan kepada Gamba Osaka dari Jepun dalam perlawanan play off ACL awal bulan ini, bukan halangan untuk mereka menempa kejayaan dalam saingan Piala AFC.

“Skuad ini semakin meningkat dalam aspek serangan serta bertahan, dan corak permainan juga kian berkembang dari sehari ke sehari.

“Esok pasti satu cabaran untuk kami kerana ini adalah penampilan pertama lawan dan tentunya mereka mahu memberikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan itu di sini hari ini.

JDT tidak dapat menurunkan pemain sayap, Azammudin Mohd Akil berikutan kecederaannya tetapi Mora mempunyai pemain lain yang mampu mengisi posisinya.

Mora juga berkata pihaknya telah mengkaji segala kemungkinan dan latar belakang pasukan-pasukan yang bakal berdepan dengan JDT bagi mengenal pasti kelemahan, sekali gus memantapkan lagi pasukan JDT sendiri.

“Kami perlu menang kerana ia memberi keseronokan kepada penyokong dan mendatangkan kegembiraan di stadium sendiri,” katanya.

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim berkata kekalahan kepada Perak dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu diharap dapat menjadi pengajaran untuk mengatasi kekurangan yang ada.

“Saya lebih risau dengan pasukan sendiri, bagi saya kalau kami dapat beri persembahan yang baik, tentunya tidak akan ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Beoung Ket Angkor FC, Anthony John McGlynn berkata beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap pasukan yang dibimbingnya walaupun baru pertama kali tampil menyertai saingan Piala AFC.

“Kami akui di atas kertas, JDT lebih terkenal, jadi untuk mendapat satu mata berharga juga sudah dikira naik. Kami sedar akan berdepan perlawanan yang sukar tetapi dalam bola sepak semuanya berkemungkinan,” katanya.

Leave a Reply