Memfitnah Felda Sudah Menjadi Makanan Kepada Pembangkang – Norshida

Memfitnah Felda Sudah Menjadi Makanan Kepada Pembangkang – Norshida

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Fitnah dan pelbagai tohmahan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilihat seumpama makanan bagi parti pembangkang yang tidak pernah serik-serik melakukan perbuatan yang sama meskipun acapkali terpaksa menarik balik kenyataan atau memohon maaf selain kalah dalam saman yang dikemukakan oleh agensi terbabit.

Bukan sekali dua mereka (pembangkang) didapati berbohong atau memfitnah, namun apa yang penting bagi mereka adalah menimbulkan kebencian serta menambahkan perasaan khuatir dan bimbang khususnya di kalangan peneroka berhubung masa depan Felda hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Beliau yang mempunyai kawasan peneroka di DUN terbabit seterusnya menegaskan keputusan mahkamah Isnin lalu yang memerintahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM70,000 kepada Felda membuktikan bahawa segala tohmahan mereka sebelum ini jelas hanya ingin mengaut keuntungan politik semata-mata.

“Jika kita tengok sebelum ini telah banyak mereka berbohong dalam tohmahan terhadap agensi terbabit. Presiden Anak, Mazlan Aliman dan sebuah syarikat terpaksa membayar ganti rugi RM350,000 kepada Felda kerana memfitnah lembaga itu dalam sebuah buku.

“Seterusnya PKR sebelum ini juga turut menyatakan rasa kesal dan mengakui serta menerima bahawa Felda tidak pernah menghantar minyak atau menjalankan sebarang perniagaan dengan negara Israel atau mana-mana syarikat milik Israel, sebaliknya urusniaga penghantaran minyak mentah tersebut dilakukan dengan negara Palestin.

“Itu adalah antara beberapa contoh dan kes yang berpihak kepada Felda sekaligus membuktikan matlamat dan peranan mereka hanyalah untuk meletakkan Felda berada di dalam kedudukan yang tidak betul di dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap peneroka,” katanya di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memerintahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM70,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah pada 2010.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya memfailkan saman RM200 juta terhadap ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyiarkan dua artikel yang memfitnah Felda dalam Suara Keadilan.

Felda mendakwa artikel itu, masing-masing disiarkan pada 22 dan 29 Jun 2010 bertajuk ‘Felda Bankrap’ dan artikel berserta gambar bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ menjejaskan imej mereka.

Pada 30 September 2014, bekas editor ‘Suara Keadilan’, Dzulkarnain Taib, yang merupakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan anak syarikatnya berhubung penerbitan dua artikel itu.

Tegas Noorshida lagi, apa yang jelas dalam situasi di atas adalah menunjukkan kebenaran atau pun fakta yang sebenarnya bukan menjadi pertimbangan pembangkang sebaliknya menyuburkan politik kebencian di kalangan peneroka dan rakyat secara umumnya.

“Apa yang pembangkang buat hanyalah untuk mengelirukan rakyat…siapa kata Felda tergadai..Felda nak bankrap…yang jelas Felda hari ini akan terus menjaga kebajikan para peneroka,” ujarnya.  – UMNOOnline

Leave a Reply