Dua Ramuan Utama Kekalkan Pagoh – MB

Dua Ramuan Utama Kekalkan Pagoh – MB

MUAR 12 Feb. – Peluang untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan Parlimen Pagoh tetap ada sekiranya ahli dan pemimpin UMNO serta komponen lain di situ dapat mengukuhkan perpa­duan antara mereka.

 Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara kedua yang perlu menjadi keutamaan di situ adalah menyelesaikan setiap isu atau masalah rakyat secara berterusan.

“Kita akan cuba atasi masalah masyarakat di sini, yang kedua­nya kita sarankan perpaduan antara ahli dan pemimpin agar diperkukuhkan.

“Sekiranya dua ramuan ini dapat dilakukan, kita pastikan akan memberi tentangan yang kuat dan se­ngit kepada pihak lawan,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas melan­carkan Perumahan Komuniti Johor (PKJ) di Lenga, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Moha­med dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzaman Abu Kassim.

Pagoh antara kawasan Parlimen yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya akan datang selepas penyandangnya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO dan kini menjadi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Ba­dan Perhubungan UMNO negeri berkata, setiap parti yang menyertai pilihan raya mempunyai matlamat untuk menang.

“Begitu juga dengan kita (BN) yang mahu menang kerana ba­nyak lagi yang boleh dibangunkan di kawasan ini yang tidak tertumpu kepada pembangunan fizikal sahaja tetapi kemanusiaan.

“Jadi, sebab itu saya mahu semua menjadi sebahagian Team Johor untuk bersama-sama membangunkan kawasan ini kerana kita tidak boleh biarkan kerajaan sahaja tetapi peranan semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya soal calon di kerusi Parlimen Pagoh, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba masanya dan beliau secara berseloroh sempat memberitahu bukan dirinya yang akan bertanding di situ.

Leave a Reply