Berhenti Serang Johor Biarkan Kami Bangunkan Johor Dengan Cara Kami – Noraini

Berhenti Serang Johor Biarkan Kami Bangunkan Johor Dengan Cara Kami – Noraini

JOHOR BAHRU, 3 Feb: Pembangkang diminta berhenti ‘menyerang’ Johor dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat dalam apa juga isu yang menyentuh kepentingan rakyat negeri ini, kata Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Noraini yang juga Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN) berkata, Johor di bawah teraju kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dan sedang merangka pelbagai aktiviti pembangunan untuk negeri ini untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau tidak faham mengapa pembangkang hendak ‘menyerang’ Johor yang diketahui mempunyai budaya dan cara sendiri untuk mentadbir serta mengurus negeri ini demi rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa.

“”Berhentilah buat perkara yang mengelirukan rakyat. Biarkan kami dengan cara kami, yang terhasil daripada niat murni pemimpin UMNO yang ikhlas untuk bantu rakyat. Biarkan kami dengan cara kami orang Johor.

“Saya fikir, inilah kekuatan Johor dan mungkin kerana terlalu cemburu, pembangkang sengaja menimbulkan isu atau perkara yang tidak ada tapi diada-adakan. Ia bertujuan mewujudkan persepsi negatif,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya ada ahli UMNO yang kini menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) serta menjadi ‘gunting dalam lipatan’, Noraini menganggap ia hanya propaganda pembangkang semata-mata.

“Mungkin perkara itu sengaja dimainkan pembangkang untuk mempengaruhi rakyat dan orang UMNO. Yang penting kita harus terus kerja kuat.

“Kalau kita ikhlas dalam perjuangan dan membantu rakyat, tidak main politik sahaja InsyaAllah, rakyat tahu dan faham apa yang kita lakukan untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

Leave a Reply