TN50 Bukti Bukan Sekadar Retorik – Anuar Manap

TN50 Bukti Bukan Sekadar Retorik – Anuar Manap

JOHOR BAHRU, 29 Jan – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap melihat Transformasi Nasional 2050 bukanlah sekadar retorik kosong mahu pun sekadar ungkapan semata-mata sebaliknya memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membina negara pada masa akan datang dengan lebih baik.

Menurut beliau kesungguhan itu dapat dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar sendiri pandangan generasi muda hari ini dalam dialog TN50 yang diadakan di Universiti Malaya baru-baru ini.

“Kesungguhan itu dapat kita lihat bersama-sama apabila Datuk Seri Najib meluangkan masa dua jam bertanyakan hasrat dan aspirasi belia untuk dijadikan input bagi pengisian dasar baharu negara itu kelak.

“Ini membuktikan keseriusan kerajaan untuk menjayakan hala tuju berkenaan dan bukannya syok sendiri sebaliknya meminta pandangan daripada masyarakat umum termasuklah kalangan orang muda hari ini.

“Ini haruslah menjadi titik tolak untuk kita melihat perkara yang menjdi permasalah utama hari ini. Contohnya isu peluang orang muda, alam Sekitar, bencana alam dan lain-lain yang sekarang ini kita seolah-olah terlepas pandang untuk generasi akan datang,“ katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Johor.

Datuk Seri Najib dalam Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) meluangkan masa berdialog bersama 500 peserta merentasi semua komuniti belia dari semua negeri di Malaysia untuk mendapatkan input keperluan warga Malaysia pada masa depan.

TN50, yang digagaskan Datuk Seri Najib, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Dialog pertama TN50 itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menggalas mandat untuk menyelaras dan menghimpunkan semua cadangan serta pandangan mengenai TN50.

Anuar yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia seterusnya menyarankan agar semua pihak mengambil bahagian dengan memberikan pandangan sewajarnya kerana generasi hari ini khususnya dapat sama-sama fikirkan dan apa yang dimahukan untuk negara dalam tempoh masa akan datang.