Penjawat Awam Perlu Pertingkatkan Mutu Perkhidmatan

JOHOR BAHRU, 26 Jan – Pejawat awam digesa mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan tidak leka dengan pencapaian sedia ada.

Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani, berkata, landskap kemajuan pembangunan negeri serta negara berubah setiap masa dan ia menuntut perkhidmatan yang lebih efisien di kalangan para pejawat awam.

“Perlu ada komitmen dan dedikasi yang tinggi di kalangan kita…kerana itu, kita perlu bersifat dinamik dan mempunyai sudut pandang bertaraf dunia, untuk terus bekerja dengan penuh amanah dan bijaksana.

“Justeru itu, saya percaya kita semua memiliki kaliber, kompetensi dan kemahiran untuk memenuhi tuntutan-tuntutan itu,” ucapnya pada permulaan majlis Amanat Menteri Besar kepada para pejawat awam di PERSADA Johor Bahru, di sini, hari ini.

Azmi turut memuji pelbagai dasar yang telah dilaksanakan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam menjaga kebajikan penjawat awam di negeri ini.

Antaranya, rasionalisasi beberapa skim perkhidmatan, pemberian satu kenaikan gaji, penetapan gaji minimum RM1,200, serta kelulusan pemberian pinjaman perumahan tanpa faedah kepada penjawat awam negeri dan pemberian bonus setengah bulan gaji.