Jangan Jadikan Banjir ‘Pesta Air’ – Sharifah Azizah

Jangan Jadikan Banjir ‘Pesta Air’ – Sharifah Azizah

KLUANG, 24 Jan – Pergerakan Wanita UMNO Johor hari ini menasihatkan orang awam khususnya golongan remaja tidak menjadikan banjir sebagai pesta untuk berseronok sehingga mengundang pelbagai bencana dan kehilangan nyawa.

Ketuanya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kebanyakan kes mati lemas ketika banjir membabitkan golongan remaja khususnya anak-anak kecil berikutan kurangnya kesedaran berhubung aspek keselamatan ketika bermain air.

“Mungkin ibu bapa sudah pasti menasihati anak masing-masing supaya berhati-hati, namun terdapat remaja yang tidak mengendahkan nasihat dan hanya memikirkan keseronokan yang akhirnya bertukar menjadi tragedi.

“Kita faham remaja sukakan sesuatu yang mencabar tetapi keberanian itu perlu diterjemahkan dalam keadaan yang selamat dan bukannya melakukannya di tempat atau dalam keadaan yang berisiko dengan mengenepikan aspek keselamatan,” ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang.

Tambahnya, dalam masa yang sama ibu bapa pula perlu bijak mengawal atau memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku selain mengutamakan aspek keselamatan. –UMNOOnline