TN50 Perancangan Penting Untuk Generasi Akan Datang

JOHOR BAHRU, 23 Jan – Ketua Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim berkata, Transformasi Nasional 2050 (TN50) sememangnya adalah satu perancangan yang amat penting dan diperlukan khususnya untuk generasi akan datang.

Jelasnya, melalui TN50 ini, perancangan rapi dapat diatur dan dipastikan kebolehsaingan generasi masa hadapan setanding di peringkat global.

“Apa yang TN50 perlukan adalah satu mekanisme baru atau tawaran baru untuk generasi masa hadapan dan kerana itulah anak muda perlu memberikan idea dan pandangan bernas bagi memastikan usaha merealisasikan TN50 tercapai.

“Idea tersebut haruslah mencakupi pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan taraf hidup agar generasi akan datang dapat melihat apa yang dipaparkan ini dapat dipergunakan di masa hadapan sebagai panduan,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Hahasrin, rakyat khususnya golongan muda harus sedar bahawa TN50 adalah corak dan dan pemetaan negara ini pada 30 tahun akan datang.

Justeru TN50 juga adalah kesempurnaan untuk Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tiga tahun lagi kita akan sampai kepada tahun 2020… selepas itu apa perancangan negara? jadi, TN50 diilhamkan bagi kesinambungan Wawasan 2020.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh anak muda agar marilah bersama-sama terlibat untuk memberi idea dan pandangan bagi menjadikan TN50 sebagai satu pelan terbaik demi masa depan negara dan rakyat,” katanya lagi.