Pemuda UMNO Turut Tersinggung Dengan Kenyataan Tun M

Pemuda UMNO Turut Tersinggung Dengan Kenyataan Tun M

JOHOR BAHRU, 24 Jan – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Sahrihan Jani berkata, anak muda Johor turut tersinggung dan berkongsi rasa kemurkaan Tuanku Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Negeri Johor Darul Takzim berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir kononnya 700,000 rakyat China yang bakal mendiami Johor Bharu akan diberikan taraf kewarganegaraan dan sebahagian besar tanah negeri ini akan dijual kepada China.

Jelasnya, dakwaan Tun Mahathir ini menggambarkan seolah-olah Tuanku mengabaikan kepentingan rakyat negeri ini.

“Sebagai anak muda yang juga ahli UMNO, saya amat kecewa dengan sikap Tun Mahathir ini kerana Tun sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada kami anak muda apatahlagi beliau juga merupakan seorang bekas pemimpin yang disegani.

“Namun kerana dendam, Tun sanggup melakukan sesuatu yang diluar jangkaan dan perbuatan Tun ini boleh mengundang perbalahan kaum.

“Maka tidak hairanlah jika Tuanku tersinggung dan murka dengan kenyataan Tun ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Sahrihan, ini bukan pertama kali Tun cuba mengganggu-gugat keharmonian negeri Johor.

“Sebelum ini Tun mempertikaikan Bangsa Johor yang diperkenalkan oleh Tuanku… Kini sekali lagi Tun buat onar.

“Janganlah kerana kepentingan politik Tun gadaikan semua maruah dan pendiriannya. Sudahlah ahli UMNO sebelum ini dilukai dengan tindakan Tun yang sanggup duduk sepentas dengan Dap, kini Tun cuba pula menghuru-harakan keharmonian rakyat khususnya di negeri ini.

“Sebagai bangsa Johor, saya berharap agar rakan baik Tun iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan anak Johor, dapat bersuara dan menyampaikan kekecewaan Bangsa Johor terhadap Tun,” ujarnya lagi.

Tegasnya, Muhyiddin perlu bersuara dan jangan terus berdiam apabila Sultan yang dikasihi Bangsa Johor diperkotak-katikkan oleh individu yang berkepentingan politik.