TN50 Tidak Pinggir Wawasan 2020 – Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR – Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak akan meminggirkan Wawasan 2020, sebaliknya bertujuan memantapkan lagi misi Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) telah memasukkan Wawasan 2020 untuk tempoh rancangan itu dari 2016 hingga 2020.

“Saya mahu bertanya kepada pihak yang bersikap sinikal dengan memainkan isu ini (TN50 dan Wawasan 2020), selepas kita mencapai negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 nanti adakah kita hanya bergembira dan meraikannya?

“Tidak! (kerana) sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, (kita) telah meletakkan sasaran dan misi seterusnya iaitu TN50,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ‘Second Cup Coffee Cafe’ di Sunway Putra Mall, di sini, baru-baru ini.

Razali berkata kerajaan akan mengambil perhatian terhadap semua pandangan dan pendapat diterima daripada golongan muda dan berusaha untuk merealisasikan aspirasi mereka.

Dalam pembentangan Bajet 2017 tahun lepas (2016), perdana menteri mengumumkan kerajaan akan melancarkan siri wacana nasional yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 yang akan dijenamakan sebagai TN50 selepas Bajet 2017.

Perdana menteri  berkata TN50 itu akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda cemerlang.

TN50 akan mula digerakkan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional seperti yang diputuskan oleh Kabinet dan akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan.