Peka Dan Kenal Pasti ‘Ejen’ Parti Lawan Yang Cuba Masuk Ke Dalam UMNO – Anuar

SEKIJANG, 22 Jan – Ahli UMNO di Johor dinasihatkan peka dan mengenal pasti ‘ejen’ dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mulai bergerak masuk dan menjadi musuh dalam selimut di dalam UMNO.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, timbul dakwaan sejak kebelakangan ini terdapat ahli dan pemimpin UMNO di peringkat cawangan yang mulai beralih arah ke PPBM dan Amanah tetapi berpura-pura masih menanggotai UMNO.

Namun katanya, desas desus berkenaan dianggap sebagai khabar angin yang dibawa dan disebarkan ahli PPBM dan Amanah yang hendak menunjukkan kepada penduduk Johor kononnya mereka semakin berpengaruh di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian saya, apa yang diperkatakan itu hanya khabar angin sahaja. Mereka hendak tunjuk kononya ada sokongan.

“Namun ahli UMNO tetap kena peka dan kenal pasti jika ada anggota PPBM atau Amanah yang cuba masuk ke dalam parti kita dan menjadi musuh dalam selimut.

Beliau mengulas dakwaan wujud komplot di peringkat bahagian dan cawangan UMNO tertentu di Johor yang ahli serta pemimpinnya akan menyokong pembangkang, khasnya dari PPBM dan Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Anuar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang berkata, khabar angin itu mungkin juga disebarkan ahli dan pemimpin yang tidak sebulu dengan pemimpin di peringkat cawangan atau bahagian.

Justeru, beliau menasihatkan agar ahli UMNO Johor terus istiqamah bersama parti untuk berdepan PRU-14 akan datang.

Beliau berharap ahli UMNO di negeri ini mengambil contoh daripada pengalaman kes pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti sebelum ini.

“Pengalaman peristiwa itu membuktikan ahli UMNO di Johor lebih mengutamakan parti berbanding individu atau pemimpin.

“Saya fikir, itu pengalaman yang boleh dijadikan asas dan pegangan kepada seluruh ahli UMNO untuk setia kepada parti, bukan kepada pemimpin sahaja,” katanya.