Tun M Cuba Sabotaj Ekonomi, Jejas FDI Di Johor – Datuk Adam Sumiru

JOHOR BAHRU, 20 Jan: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memutar belit isu pembangunan di Johor termasuk berkaitan langkah kerajaan negeri menarik pelaburan langsung asing (FDI) dari China disifatkan sebagai cubaan sabotaj ekonomi negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru berkata, tindak tanduk bekas Perdana Menteri itu juga jelas cuba menghasut rakyat Johor dan menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan negeri serta kepemimpinannya.

“Tun Mahathir memang jelas cuba mensabotaj ekonomi Johor dengan melemparkan dakwaan tidak berasas seperti dalam pembangunan Forest City selain mendakwa ribuan warga China akan terus menetap di Johor.

“Apa yang beliau lakukan ini hanya hendak menimbulkan persepsi dan kegelisahan rakyat terhadap dasar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini juga mahu memburukkan imej kerajaan negeri Johor sebagai negeri yang pesat membangun,” katanya.

Adam yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, serangan Tun Mahathir terhadap Johor dalam isu kononnya 700,000 warga China akan terus menetap di negeri ini menerusi projek Forest City juga tidak berasas.

Katanya, perkara itu adalah mustahil untuk berlaku kerana sistem atau proses memberi kerakyatan kepada warga asing bukan sesuatu yang mudah kerana mengambil masa serta tertakluk kepada syarat tertentu.

“Ia tidak mudah kerana perlu melalui prosedur tertentu. Sistem sekarang lebih canggih berbanding zaman beliau dulu,” katanya.

Dalam soal pemilikan hartanah oleh warga asing pula, beliau berkata, terdapat garis panduan dan batasan yang perlu dipatuhi termasuk urusan perundangan.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan Tun Mahathir kerana sebagai ahli politik, beliau akan gunakan apa sahaja perkara atau isu yang boleh digunakan untuk meraih perhatian rakyat agar timbul rasa sangsi rakyat terhadap kerajaan negeri.