Jangan Layan Dakyah Tun M – Zaiton

MUAR, 20 Jan: Kerajaan negeri Johor dan kepemimpinannya disaran tidak melayan segala tohmahan dan dakwaan dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung status pelaburan strategik di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail berkata, apa yang dibangkitkan Dr Mahathir itu hanya bertujuan mencari publisiti murahan untuk menimbulkan kegelisahan rakyat Johor terhadap kepemimpinan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, segala dakwaan dan tuduhan dijelmakan bekas Perdana Menteri itu tidak perlu dilayan kerana tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku di Johor.

“Pada pendapat saya, lebih elok kita jangan layan apa yang dibangkitkan Tun Mahathir sebab apa yang beliau dakwa itu tidak betul. Malah Tuanku juga sudah murka.

“Langkah ini (berdiam diri) bukan bermakna kita tidak mahu jawab, tetapi kalau kita jawab pun, ia akan terus berpanjangan dan timbul lagi pertanyaan. Maka lebih baik jangan dilayan,” katanya.

Zaiton yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Muar berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga sebenarnya ketandusan ‘modal’ untuk dijadikan isu untuk mempromosikan kewujudan parti yang baru ditubuhkan itu.

Katanya, Dr Mahathir perlu tahu segala rancangan pembangunan dan pelaburan di Johor dibuat menerusi keputuasan muafakat kepemimpinan kerajaan negeri Johor yang mendapat restu daripada Sultan Johor.

“Buat apa beliau nak ‘kacau’ Johor. Rakyat Johor tidak ada masalah dengan kerajaan negeri. Kalau ada yang terpengaruh pun mungkin ‘orang luar’ yang bermastautin dan bekerja di Johor. Orang Johor tahu apa yang berlaku di negeri ini.

“Berdasarkan pengalaman kita, orang Johor tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan seperti dilemparkan Tun Mahathir kerana kita tahu apa yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Justeru, Zaiton menyeru rakyat Johor untuk yakin dan percaya dengan kepemimpinan Mohamed Khaled menerajui negeri ini demi kepentingan serta kemakmuran negeri ini pada masa hadapan. – Wananwar