Hindar Maklumat Negatif Tentang Johor- Suhaimi

PONTIAN – Maklumat negatif di media sosial yang mendakwa kononnya Johor bakal dijual kepada negara asing ekoran pembangunan pesat boleh mengelirukan orang ramai.

Naib Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan tersendiri terhadap pembangunan berkenaan kerana yakin kelebihan berjiran dengan Singapura akan memberi impak terhadap ekonomi Johor.

Justeru, beliau yang juga Adun Kukup menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan negatif tersebut.

“Johor yang berjiran dengan Singapura mempunyai kelebihan dan mampu bersaing bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga di seluruh dunia.

“Pelbagai agenda pembangunan diberikan penekanan seperti pendidikan, perumahan, ekonomi dan belia. Malah gagasan Johor berkemajuan turut diperkenalkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika  menutup  program Titik Sentuhan  Rakyat ( TSR ) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Tanjung Piai di Dewan Raya Kampung Desa Baru, Pekan Nanas, di sini, kelmarin.

Menurutnya, gagasan Johor Berkemajuan yang diperkenalkan dapat membentuk masyarakat berfikiran positif  dalam mengharungi pelbagai cabaran menuju sebuah negeri maju.

“Golongan yang melemparkan dakwaan negatif itu sebenarnya tidak memahami hasrat yang dilakukan oleh Kerajaan Johor bertujuan menyediakan masa depan lebih baik  kepada penduduknya.

“Oleh itu, amat penting bagi rakyat Johor untuk maju dengan mengubah cara pemikiran,” katanya. –SINAR