Beberapa Projek Pembangunan Diluluskan Untuk Penuhi Keperluan Penduduk Kluang- MB

KLUANG, 17 Jan – Lawatan ke Parlimen Kluang hari ini merupakan kawasan ketiga dalam rangka kerja lawatan saya yang memberi peluang untuk meninjau dan melihat kehidupan masyarakat dan menilai kesan-kesan pembangunan serta memahami masalah dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, ujar Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Tambahnya, beberapa isu telah dibangkitkan antaranya soal pemilikan RMMJ , masalah banjir, kemudahan asas soal keperluan kepada projek ekonomi, pendidika agama, masjid dan sebagainya.

“Sebahagian perkara yang dibangkitkan memang dalam pertimbangan, namun saya ingin nyatakan bahawa ada beberapa projek besar di bawah kerajaan negeri telah diluluskan untuk parlimen dan daerah kluang.

Pertamanya apabila Empangan Kahang siap, mereka perlu laksanakan projek loji rawatan air, kos pembinaan loji itu bergantung kepada status tanah, kerajaan negeri telah selesaikan isu tanah maka, loji itu sudah boleh dibina tahun ini yang bernilai RM100juta. Apabila empangan dan loji ini siap, saya percaya Kluang tidak lagi akan menghadapi masalah air.

Kedua, kita akan membina Pusat Pentadbiran Pejabat Dearah Kluang yang baru, bernilai RM31 juta yang akan dibina juga tahun ini. Ketiga, projek yang kaitan dan akan juga dilaksanakan di derah Kluang tapi akan melibatkan banyak kawasan, banyak daerah iaitu projek Laluan Keretapi Elektrik Berkembar dari Gemas ke Johor Bahru bernilai RM7bilion. Sebahagian laluan itu akan melalui Kluang,” ujarnya kepada media selepas lawatan kerja ke Parlimen Kluang hari ini.

Tambahnya, tapi dalam soal ini ada isu yang dibangkitkan penduduk khususnya dari segi jajaran di tengah-tengah Bandar Kluang di hadapan rumah Pegawai Daerah yang mana masyarakat memberi pandangan bahawa cadangan yang dibawa oleh pihak pemaju perlu dilakukan beberapa perubahan dan pindaan sebagai menepati pandangan orang tempatan.

“Yang ini kerajaan negeri sokong dan minta pihak kerajaan pusat ambil kira pandangan penduduk dan masyarakat pembinaan di kawasan ini tidak menimbulkan masalah-masalah yang lain.

Selain itu, ada juga pembinaan dua sekolah agama yang baru, masjid, tokong pun saya dah setuju luluskan dengan peruntukan RM200ribu, kita bersetuju naik taraf bina semula kawasan gerai MPK Kampung Paya Batu 2 tetapi itu dikongsi peruntukan bersama pihak kerajaan negeri dengan pihak Majlis Perbandaran Kluang,” tambahnya.