UMNO Johor Terus Ke Depan Buktikan Rancangan Dan Pelaksanaan Untuk Rakyat

AIR HITAM, 16 Jan – Memang sudah menjadi ‘trend’ para pembangkang untuk menggunakan apa dan siapa sahaja yang mereka fikir boleh menguntungkan politik mereka dan benar atau tidak itu adalah perkara kedua.

Apa yang penting manipulasi sebaik mungkin supaya apa yang dinyatakan itu seolah-olah ada asas dan terus menjadi bualan dan menjadi perhatian rakyat di bawah, kata Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali.

Jika dilihat kepada perbandingan dengan Barisan Nasional (BN), beliau seterusnya menegaskan taktik dan tindakan sedemikian rupa bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka hanya memikirkan keuntungan di dalam politik semata-mata.

“Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), kita memikirkan pelbagai aspek dan pelbagai perkara yang menitik beratkan soal kepentingan rakyat. Daripada soal calon yang diketengahkan hinggalah kepada segala-galanya.

“Jadi sebab itulah banyak bezanya antara kita dengan parti pembangkang ini kerana mereka sekadar memanipulasi,” katanya kepada UMNO-Johor.

Beliau seterusnya menegaskan BN terus fokus kepada kebenaran selain membuktikan kepada masyarakat tentang hasil setiap rancangan dan kerja yang bermanafaat kepada rakyat dan negara.

Serentak itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Semarang seterusnya berharap rakyat dapat membuat penilaian teramsuklah menapis dengan sebaik mungkin apa yang dilontarkan oleh parti pembangkang hari ini.