Bekalan Limau Mandarin Di Johor Mencukupi Meskipun Harga Naik

Bekalan Limau Mandarin Di Johor Mencukupi Meskipun Harga Naik

JOHOR BAHRU, 16 Jan  — Bekalan limau mandarin di Johor masih mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 28 Jan ini meskipun berhadapan dengan kemungkinan kenaikan harga sebanyak 15 hingga 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata ini berikutan jumlah bekalan limau yang diimport dari negara China turun sebanyak 30 peratus kerana faktor cuaca dan kedudukan mata wang ringgit di pasaran.

“Sekarang di China tengah musim sejuk jadi ia mempengaruhi pengeluaran hasil tanaman limau mandarin menyebabkan kuantiti yang diimport ke dalam negara kurang dan kita dapati harga menunjukkan peningkatan.

“Meskipun begitu, bekalan di Johor masih lagi mencukupi dan mampu menampung kehendak pasaran negeri ini. Ini termasuk barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung, telur dan bawang juga masih mencukupi dan harga barangan ini masih kekal tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor yang turut disertai oleh Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri Mohamad Mokhtar Yeop bersama 20 pegawai penguat kuasa di dua lokasi pemborong barangan runcit di Johor Jaya di sini hari ini.

Menurut Tee, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan KPDNKK dalam mencari mekanisme yang lebih baik dalam membantu pengguna menangani kos sara hidup pada masa kini antaranya melalui penganjuran jualan murah dan jualan terus dari kilang kepada pengguna.

“Saya mendapat arahan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat menghadapi kos sara hidup sekarang sebab sebelum ini kita sudah ada dasar seperti Bas Muafakat Johor, Rumah Mampu Milik Johor dan kita mahu pergi lebih jauh daripada itu.

“Saya harap semua pihak tidak kira pengilang, pemborong, peruncit, peniaga dan pengguna sama-sama menghadapi keadaan ini, mencari jalan mengatasi cabaran yang kita hadapi dan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan mereka.

“Tahun lalu kita ada buat dua jualan murah iaitu Karnival Jualan Mega KPDNKK pada bulan November di Plaza Angsana dan sebelum itu di Pasir Gudang pada awal tahun. Kita amat mengalu-alukan cadangan dan saranan daripada mana-mana pihak untuk membantu kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya akan memperbanyakkan lagi jualan murah pada tahun ini selepas mendapat kebenaran daripada KPDNKK.

“Sebelum ini, KPDNKK ada tentukan hanya boleh buat empat jualan murah dalam setahun tetapi itu hanya tertakluk kepada pusat-pusat membeli-belah, apa pun kita akan buat surat permohonan kepada KPDNKK.

“Terdapat lapan kluster barangan yang boleh diniagakan dalam jualan murah seperti makanan harian, pakaian, perabot, barangan elektrik dan kita akan tentukan jualan yang diadakan akan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga memaklumkan bahawa terdapat peningkatan aduan mengenai kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 pada tahun 2016 iaitu sebanyak 27 kes berbanding 14 kes pada 2015.