Dzulkhairi Mukhtar Dilantik Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Johor

JOHOR BAHRU, 15 Jan  — Pegawai Turus Perlesenan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Pemangku Supt Dzulkhairi Mukhtar dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang baharu menggantikan Supt Baharuddin Mat Taib berkuat kuasa hari ini.

Dzulkhairi, 41, berasal dari Kuala Lumpur akan menggantikan Baharuddin, 52, yang telah berkhidmat selama lebih dua tahun di Johor Bahru dan akan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Sepang yang baharu.

Majlis serah terima tugas bagi jawatan tersebut berlangsung di Dewan Margosa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini disaksikan oleh Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Dzulkhairi telah berkhidmat selama 16 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebelum ini pernah bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, Johor Bahru Selatan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Baharuddin sebelum ini pernah bertugas dalam Op Mempelai pada November 2014 iaitu majlis perkahwinan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Che Puan Khaleeda Bustamam dan Op Kemahkotaan Johor pada Mac 2015 bagi memastikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berjalan lancar.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata kelancaran pergerakan dan koordinasi pada kedua-dua majlis itu telah mendapat penghargaan dan dijadikan rujukan oleh kontinjen-kontinjen PDRM yang lain.

“Ini merupakan kali pertama kita berurusan dengan dua majlis besar yang telah berjalan dengan lancar. Kita juga ada membantu melancarkan perjalanan program Kembara Mahkota Johor yang merupakan satu acara tahunan negeri kita.

“Kita juga mencatatkan prestasi terbaik dalam Op Selamat 8 pada tahun 2016 sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kita harap akan berjaya mengekalkan prestasi sama pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Wan Ahmad Najmuddin menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.