Latihan Pengungsian Bangunan Bakal Diadakan Di BSI, JB Sentral, Ahad Ini

JOHOR BAHRU, 13 Jan — Satu program latihan pengungsian bangunan akan diadakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan JB Sentral di sini pada Ahad ini antara pukul 8.30 hingga 10 pagi.

-Gambar Hiasan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata program itu dianjurkan secara bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kerja Raya.

Ia merupakan aktiviti tahunan bagi memastikan agensi-agensi kerajaan sentiasa berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Latihan juga demi memberi pengetahuan yang lebih kepada petugas dan pengguna di bangunan ini berkenaan kepentingan latihan keselamatan pengungsian bangunan mengikut kaedah Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepanjang latihan yang disertai 50 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu, orang awam turut dinasihatkan agar tidak berasa cemas dan merancang perjalanan mereka.

Ini kerana sejak dilakukan pada 2011, latihan itu menggunakan pelbagai senario seperti gegaran, gempa bumi, tumpahan bahan kimia, ancaman bom dan serangan pengganas, kata Sulaiman.