Penajaan JDT Untuk Pembangunan Sukan Selain Nilai Komersial

JOHOR BAHRU, 13 JAN – Johor Corporation adalah sebuah Konglomerat yang sudah semestinya menitikberatkan soal keuntungan kepada syarikat dan matlamat ini adalah sama dan sejajar dengan mana-mana entiti bisnes di seluruh dunia.

Pun begitu, Johor Corporation juga sentiasa meletakkan peranan pembangunan negeri dan tanggungjawab korporatnya di kedudukan tertinggi selari dengan teras utama penubuhannya, kata Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Merujuk kepada penajaan Johor Corporation terhadap pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim, beliau seterusnya menjelaskan ia dibuat adalah kerana nilai-nilai komersial yang terdapat di dalam pasukan itu.

“Ini dapat dibuktikan apabila laman sosial media JDT sendiri iaitu Johor Southern Tigers merupakan laman rasmi pasukan bola sepak terbesar di negara ini. Di Facebook misalnya, ia mempunyai lebih 1.7 juta likes manakala di Instagram pula pengikutnya melebihi 450,000 orang dan di Twitter seramai 121,000 pengikut.

“Daripada jumlah pengikut di sosial media itu sahaja, ia telah jelas menunjukkan bahawa pasukan JDT mempunyai rangkaian penyokong yang ramai dan mempunyai nilai-nilai komersial yang baik buat Johor Corporation.

“Atas sebab itulah, Johor Corporation dan kumpulannya membuat keputusan untuk terus menjadi penaja kepada pasukan ini apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak terkemuka di Asia,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Justeru, kata beliau lagi sebagai sebuah konglomerat yang mempunyai rangkaian perniagaan dan jenama antarabangsa seperti KFC, Pizza Hut dan KPJ Healthcare di dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Kemboja, Brunei, Australia dan ia sudah semestinya baik untuk penjenamaan Kumpulan Johor Corporation jika dikaitkan dengan JDT yang juga merupakan Juara Piala AFC 2015.

Selain itu, kata beliau lagi penajaan ini dianggap sebagai salah satu daripada tanggungjawab Korporat Johor Corporation untuk pembangunan sukan di negeri ini.

“Umum mengetahui, bahawa tertubuhnya Johor Corporation 46 tahun lalu adalah untuk menyumbang kepada negeri Johor dan pembangunan sukan adalah salah satu daripadanya. Menerusi kesedaran itulah Johor Corporation terus memberi penajaan kepada JDT apatah lagi ia adalah pasukan kesayangan rakyat Johor sejak kepimpinannya diambilalih oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“Hingga ke hari ini, Johor Corporation berbangga menjadi sebahagian daripada kegemilangan pasukan JDT apatah lagi ia telah memenangi pelbagai piala baik di peringkat domestik mahupun Asia dalam tempoh masa singkat. Semoga penajaan berterusan Johor Corporation ini dapat membantu JDT untuk terus menjadi pasukan bola sepak terbaik di negara dan rantau ini. Insya-Allah,” katanya.