Pembangkang Cuak Kredibiliti Shahrir Jaga Felda – Bastien

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Pembangkang disifatkan resah dengan kebolehan dan kredibiliti pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk membawa agensi itu ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, pelantikan Shahrirjuga sengaja dikelirukan pembangkang kerana cuak dengan kebolehan dan sejarah cemerlang Shahrir sendiri.

“Banyak yang diperkatakan oleh pembangkang untuk mengelirukan rakyat. Matlamatnya adalah untuk mengesahkan keresahan yang diwujudkan pembangkang sendiri dengan mengatakan kedudukan Felda yang kononnya terumbang-ambing.

“Sebab itu ditimbulkan soal kononnya perlantikan Shahrir adalah sebagai penyelamat kepada kedudukan Felda.

“Adakah pembangkang resah dengan kebolehan dan kredibiliti Shahrir yang dijangka melonjakkan kedudukan Felda ke tahap yang lebih baik?” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyangkal dakwaan pelantikan Shahrir sebagai Pengerusi Felda kerana masalah kewangan yang dihadapi Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad.

Jelasnya, tempoh perkhidmatan Isa sebagai Pengerusi Felda tamat pada 31 Disember lepas dan beliau juga masih kekal sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Dalam pada itu kata Bastien, pelantikan Shahrir akan membantu Barisan Nasional (BN) sendiri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Shahrir seorang yang pernah berkhidmat dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mencetus idea Felda ini sudah tentu akan memainkan peranan penting dalam penceritaan kisah Felda ini kepada peneroka-peneroka.

“Tanggungjawab ini tergalas di bahu Shahrir. Ini sudah tentu membimbangkan pembangkang

“Saya percaya Shahrir akan memikul tanggungjawab ini dengan baik dan berani menambah baik serta melakukan perubahan yang dirasakan perlu seperti Tun Musa Hitam lakukan di Sime Darby,” jelasnya.

 Tegasnya, pembangkang tidak perlu menimbulkan kekeliruan terhadap Felda yang terbukti membawa faedah serta peluang ekonomi yang besar kepada negara.

“Kejayaan seperti ini hanya mampu dilahirkan oleh BN. Kita tunggu dan lihat kejayaan demi kejayaan limpahan ekonomi yang akan dihadirkan oleh kepimpinan Shahrir.

“Semasa pelantikan Isa dahulu pembangkang cakap ia buah tangan untuk Isa selepas menjadi Ahli Parlimen dan kini kononnya Shahrir sebagai penyelamat kepada kedudukan buruk Felda,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru sebagai Pengerusi Felda yang baharu pada Jumaat lepas. -Astro Awani