Agih Kerusi Untuk Ditandingi…Pakatan Pembangkang Terus Celaru

JOHOR BAHRU, 23 Dis – Ahli Parlimen Sekijang, Yb Anuar Manap melihat kecelaruan parti-parti pembangkang dalam soal pengagihan kerusi untuk ditandingi bukanlah satu perkara pelik dan tidak memeranjatkan.

Ini kerana menurut beliau mereka hanya boleh sependapat dan mempunyai titik persamaan dalam melontarkan dakyah serta pelbagai fitnah terhadap kerajaan dalam usaha meracuni pemikiran rakyat.

“Dan lebih memburukkan lagi situasi kehadiran parti-parti baru yang tentunya ingin meletakkan calon-calon mereka dalam pilihan raya umum akan datang dan sudah tentu akan merumitkan lagi keadaan.

Apa yang pasti sudah tentu masing-masing menyatakan mereka lebih layak untuk bertanding di satu-satu kawasan dalam usaha memastikan agenda pari masing-masing berjaya. Tidak lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Parti-parti pembangkang khususnya di dalam Pakatan Harapan sehingga ke hari ini masih lagi terkial-kial dalam soal pengagihan kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang. Sungguh pun mereka telah menyatakan persetujuan berada di dalam blok Pakatan Harapan, PKR, Dap, PAN dan Bersatu masih belum mencapai titik noktah dalam soal terbabit.

Anuar seterusnya menjangkakan kemelut dan krisis berkenaan akan terus berpanjangan sungguh pun mereka hari ini dilihat membawa perkara berkenaan ke meja rundingan dalam mencari jalan penyelesaian.

Katanya sudah tentu ‘priority’ pertama kerusi atau kawasan yang akan dilepaskan kelak adalah kawasan-kawasan yang diketahui sukar untuk PKR serta Dap mencapai kemenangan.

“Mungkin inilah kawasan-kawasan yang akan diberikan kepada parti-parti baharu itu. Namun belum tentu akan mencapai persetujuan bersama kerana seperti apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak sebagai contoh ianya berubah pada saat-saat akhir apabila bertembung sesama sendiri,” katanya.