Jangan Tekan ‘Butang’ Panik Berhadapan Parti Baru – Ayub

JOHOR BAHRU, 29 Nov – Ahli Dewan Undangan Kemelah, Datuk Ayub Rahmat meminta pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk tidak perlu panik berkaitan penubuhan parti baru kerana soladiriti dan pengorbanan ahli yang setia akan terus bangkit dan utuh bagi memastikan UMNO terus gah.

unknown-11Namun begitu jelasnya, pemimpin tertinggi parti perlu tampil dengan formula jitu bagi mengekang pengaliran keluar ahli termasuklah pengundi atas pagar.

“Penyelesaian penuh secara muktamad perlu dilakar segera bagi memastikan keyakinan ahli terhadap parti dan pemimpin terus jitu.

“Pemimpin atas pagar juga harus diberi perhatian kerana mereka ini adalah penyumbang kepada kemenangan parti pada setiap pilihan raya,” katanya kepada UMNO-Johor.

Ujarnya, UMNO pernah berhadapan dengan pelbagai krisis yang jauh lebih teruk namun dek kerana solidariti yang utuh di kalangan ahli maka parti ini dapat terus dipertahankan.

Apa yang penting sekarang ini katanya adalah mengembali dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap parti keramat ini apatahlagi Negara bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 tidak lama lagi.

“Mahu tidak mahu kita harus segera bertindak apatahlagi negeri Johor ini memang menjadi sasaran utama pembangkang untuk dirampas.

“Perkara ini bukan satu rahsia lagi dan demi memastikan Johor terus menjadi milik kita maka formula ajaib yang berkesan harus dilaksanakan,” ujarnya lagi.