UMNO Tidak Pernah Ketepikan Pandangan, Usul Akar Umbi – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata UMNO tidak memandang ringan usul-usul yang dilontarkan oleh akar umbi parti dalam usaha memastikan suara dan pandangan mereka dibawa dan dibahas di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 29 Nov hingga 3 Dis nanti.

Usul - usul PerbahasanMalah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan UMNO turut memaklumkan pandangan daripada pihak luar yang berkepentingan juga diambil kira menerusi konvensyen yang telah diadakan sebelum ini dalam usaha memastikan perjuangan UMNO menyeluruh dan mencuit hati rakyat di luar sana.

“Alhamdulillah… saya telah dimaklumkan usul-usul tahun lepas dah dijawab dan ini menunjukkan kita tidak ambil mudah pandangan daripada bawah. Dan penambahbaikannya menerusi konvensyen yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan lain mesti dipertahankan.

“Dan hari ini kita bincangkan usul-usul yang nak kita bentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu depan supaya jurucakap kita dapat pengetahuan sedikit apa yang perlu dibincangkan.

“Bukan kita nak kongkong mereka tetapi ini suara daripada akar umbi, ini suara daripada ahli-ahli kita dan mereka di luar sana. Dan daripada pandangan itulah harap perbahasan menjurus kepada perkara-perkara yang amat memberi nilai dan makna serta mencuit hati setiap lapisan masyarakat, ahli-ahli dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Usul, di sini, hari ini.

Hishammuddin seterusnya berkata draft perbincangan usul yang telah dibincangkan hari ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas.

“Alhamdulillah… saya berasa lega lega kerana mesyuarat Jawatankuasa Usul telah bergerak awal dan hari ini kita telah menerima laporan daripada Pengerusi-Pengerusi Kluster usul yang telah membincangkan kandungan usul yang perlu dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 nanti. Insya Allah draft ini akan dibentangkan pada Majlis Tertinggi khas,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut berharap perwakilan juga perlu memanfaatkan perhimpunan kali ini dengan membincangkan usaha menguatkan jentera dan keyakinan setiap anggota parti.

“Perkara yang penting sekarang dalam UMNO, kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk PRU akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan dan saya berharap suasana dan perjalanan perhimpunan kali ini menjurus ke arah itu.

“Itu saya rasa penting dan boleh menjadi perkara ‘take away’ kepada perwakilan, perkara yang boleh dibawa balik ke bahagian masing-masing selepas perhimpunan itu,” ujarnya.

Usul-usul tersebut dikategorikan mengikut kluster seperti politik, ekonomi, agama, sosial dan pendidikan.

Kluster Ekonomi : Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Johari Ghani,
Kluster Pendidikan : Datuk Seri Mahadzir Khaled dan Datuk Seri Idris Jusoh,
Kluster Agama : Datuk Seri Seri Jamil Khir Baharom dan Dr Asyraf Wajdi,
Ucapan Dasar : Datuk Seri Hishammuddin Hussein Dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNOOnline