UMNO Johor Sedia Bantu Bawa Balik Mangsa Keldai Dadah Syzlin Hataman Dari Lima, Peru – Jais

ISKANDAR PUTERI, 23 Nov: Badan Perhubungan UMNO Johor sedia membantu membawa pulang wanita berusia 42 tahun yang sudah tujuh tahun terkandas di Lima, Peru kerana kesalahan keldai dadah.

Setiausahanya, Datuk Md Jais Sarday, berkata beliau sudah meneliti laporan akhbar BH hari ini dan sudah menghubungi UMNO Johor untuk melakukan tindakan segera membantu wanita berkenaan.

fb1ba380-fc49-4761-abfc-3a92dca967efKatanya, UMNO Johor menerusi Biro Kebajikan yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim bersama UMNO Bahagian Johor Bahru akan menggerakkan usaha itu.

“Langkah pertama UMNO Johor akan mendapatkan maklumat termasuk menghubungi keluarganya di Johor Bahru, seterusnya menghubungi Wisma Putra untuk meminta pandangan bagaimana mahu membawa pulang mangsa.

“Langkah terakhir selepas mendapat semua maklumat, UMNO Johor akan menghantar wakil ke sana (Peru) dan membawa pulang wanita berkenan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi soal jawab pada persidangan penggal keempat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Md Jais berkata, pihaknya menyedari keperluan segera membawa pulang wanita berkenaan berikutan mangsa kini hidup dalam kesusahan dan dibantu pihak gereja di sana.

“Mungkin mangsa berada dalam keadaan susah, selain tiada keluarga dan saudara di sana menyebabkan dia terpaksa mendapatkan bantuan pihak gereja, sebab itu usaha segera perlu dilakukan.

“Saya berharap pihak BH dapat memberi kerjasama dengan UMNO Johor dalam usaha menghubungi keluarga atau mangsa di sana,” katanya. BH