RM250,000 untuk Program Jom Sekolah

PONTIAN 22 Nov – Yayasan Muafakat Pontian (YMP) memperuntukkan RM250,000 bagi program Jom Sekolah 2017 kepada 400 pelajar kurang berkemampuan di daerah ini pada tahun depan.

imagePengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, program tersebut melibatkan 20 sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

“Menerusi penambahan pe­r­untukan yang diluluskan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPM, setiap pelajar akan mene­rima baucer RM250 berbanding RM200 pada tahun lalu.

“Pemilihan penerima sumbangan diserahkan kepada pihak sekolah yang mempunyai jawatankuasa kebajikan masing-masing bagi menentukan sesiapa yang layak menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam teks ucapannya yang dibacakan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Kamalu­ddin Jamal pada majlis penye­rahan sumbangan tersebut di Pasar Ra­ya Sakan, di sini hari ini.

Hasni berkata, baucer itu yang boleh digunakan hingga 15 Di­sember ini diharap dapat me­ringankan beban kewangan ibu bapa terutama yang mempunyai tanggungan ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu memahami masalah dihadapi ibu bapa setiap kali musim persekolahan baharu yang memerlukan perbelanjaan besar untuk anak-anak mereka.

“Yayasan juga mengalu-alukan badan korporat mahupun individu menjalankan tanggung­jawab sosial korporat (CSR) me­lalui sumbangan peralatan pembelajaran mahupun menjadi bapa angkat kepada sekolah,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsan (SK) Pontian Besar, Nor Azize Jaafar berkata, pi­haknya menerima sumbangan RM5,000 daripada YPM bagi 20 pelajar yang kurang bernasib baik.

Mereka merupakan pelajar miskin, anak-anak yatim yang dikenal pasti jawatankuasa kebajikan di bawah unit Hal Ehwal Murid sekolah itu berdasarkan kepada pendapatan keluarga mereka. -UTUSAN