Johor Galak Pekebun Usaha Perusahaan Madu Kelulut

MUAR, 23 Nov  — Kerajaan negeri Johor menggalakkan lebih ramai  pekebun menternak madu kelulut bagi menambah pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed berkata harga madu kelulut yang boleh mencecah RM150 bagi satu liter mampu memberi pulangan besar kepada pekebun khusus pekebun kecil.

15109411_1292714604125411_5141229533212078748_n“Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membantu pekebun menerusi program galakan usahawan untuk menyediakan geran pinjaman sehingga RM100,000  kepada mereka yang layak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menghadiri majlis menyambut Duta Madu Kelulut Walk 2016, Sabri Ali di Masjid Al-Hidayah, Batu 23, Lenga dekat sini dalam misi berjalan kaki merentasi seluruh negara sejauh 2,000 kilometer dalam masa 54 hari.

Turut hadir Ketua Pengarah Pertanian Negeri, Ahmad Kamil Md Yunus.

Ismail berkata kerajaan negeri juga memberi galakan kepada pengusaha madu kelulut untuk memproses madu kelulut sebagai produk hiliran seperti menghasilkan sabun atau produk kecantikan yang mampu memberi nilai tambah.

Beliau berkata modal bagi memulakan perusahan menternak kelulut tidak melibatkan kos yang besar iaitu bawah RM500 bagi satu rumah sarang dan kelulut serta peralatan lain, namun pulangan yang bakal diterima adalah besar.

Katanya pihaknya sedang melakukan kajian untuk memperkenalkan pengusahaan menternak kelulut di laman rumah.

Sementara itu Sabri yang ditemui berkata beliau yakin mampu menamatkan cabaran dalam masa 55 hari itu seperti yang dijadualkan.

“Hari ini saya berjalan kaki sejauh 46 kilometer dalam masa tujuh jam 59 minit bermula dari Dataran Segamat dan akan meneruskan perjalanan ke Dataran Pentas Parit Sulong, Batu Pahat esok sejauh 43.6 km sebelum ke Umbai, Melaka pada 25 Nov.

“Alhamdulillah cuaca hari ini baik dan sehingga kini saya telah berjalan sejauh 1,734.71 km dan akan menamatkan baki misi berjalan kaki pada 1 Dis ini di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Serdang, Selangor serta bakal menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Sabri berkata rahsia kejayaanya terus cergas di usia 59 tahun ialah dengan mengamalkan pengambilan madu setiap hari.

“Saya mula mengambil madu kelulut pada 2015 dan sehingga hari ini saya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan misi ini,” katanya.

Program Kelulut Walk 2016 itu dianjurkan sempena MAHA 2016 dari 1 hingga 11 Dis ini.