Unit Swadaya Insan Bukan Pesaing Kepada JobsMalaysia, Institusi Latihan Kemahiran

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov — Pewujudan Unit Swadaya Insan (USI) di negeri ini bukan untuk menjadi pesaing atau melaksanakan peranan sedia ada
agensi kerajaan seperti JobsMalaysia, institusi latihan kemahiran atau mana-mana jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

r-vidyananthanPengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata sebaliknya, ia berfungsi sebagai pemudah cara atau penyelaras bagi menghubungkan semua pihak berkepentingan dalam keperluan modal insan, yang akhirnya akan memanfaatkan pelabur, pencari kerja dan kemajuan negeri.

“Unit ini akan menjadi penyelaras utama antara pihak industri terdiri daripada pelabur, agensi kerajaan, institusi latihan kemahiran, institusi pengajian tinggi dan pencari kerja dalam memastikan aspek pengurusan serta pembangunan bakat yang ditekankan dalam pembangunan Johor.

“Tetapi dalam mencapai tujuan itu, kita memerlukan pengukuhan dan pengurusan pentabdiran yang cekap dan berkesan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini

Beliau menjawab serentak soalan Ismail Roslan (BN-Semerah) dan Lau Chin Hoon (BN-Pemanis) mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menghadapi dua cabaran iaitu kadar penggangguran global yang meningkat serta dalam mendapatkan, membangun dan mengekalkan bakat-bakat bernilai tinggi di negeri ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata di bawah USI, beberapa program telah pun dirangka bagi mengurangkan penggangguran.

Antaranya, Program ‘Zero To Hero’ yang akan dilaksanakan di seluruh negeri dengan penglibatan 300 belia yang keciciran pelajaran tetapi mempunyai nilai produktif.

“Program ini bertujuan untuk mengoptimumkan guna tenaga dalam kalangan rakyat Johor dan ia merupakan satu kerugian apabila golongan belia keciciran ini tidak diberi perhatian bagi membantu menjana ekonomi negeri melalui pewujudan peluang kerjaya yang meliputi kemahiran,” katanya.

Beliau berkata USI juga akan mengenal pasti siswazah yang menganggur lebih tiga tahun untuk dilatih semula dalam bidang-bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan industri.

Latihan itu mengambil kira keadaan menyediakan mereka dengan lesen profesional sebagai juruukur bahan, penyelia atau pegawai keselamatan tapak dan sebagainya, tambah Vidyananthan.

USI dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada awal Oktober lalu dan melalui pembentangan Bajet Johor 2017, ia telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menggandakan usaha memantapkan pengurusan dan pembangunan modal insan yang lestari di negeri ini.