Suarakan Masalah Melalui Konvensyen Lebih Berkesan Daripada Berdemostrasi

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Mendengar permasalahan rakyat dalam konvensyen dan menterjemahkannya kepada resolusi untuk dijadikan dasar kerajaan, merupakan kaedah lebih berkesan berbanding demonstrasi jalanan tanpa hala tuju, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

15122940_1628160227209719_1638649584059719291_oMenteri Pertahanan itu berkata UMNO sejak sekian lama mengambil pendekatan mendekati akar umbi secara terus melalui program dan konvensyen supaya resolusi yang dilakarkan lebih mencerminkan kehendak sebenar masyarakat.

“Ini membezakan kita daripada mereka yang nak jatuhkan kerajaan dengan jalan yang singkat melalui demonstrasi jalanan, mengamalkan politik kebencian dan menggalakkan perpecahan.

“(Tindakan) Itu takkan memberi apa-apa makna kepada majoriti masyarakat di luar sana yang sudah pastinya dapat menilai, kerana program konvensyen sebeginilah yang mereka selalu harapkan daripada pemimpin negara,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

K-PAU, yang memasuki tahun kedua penganjurannya, menghimpunkan usul-usul berkaitan ekonomi, pendidikan, agama, politik dan Bumiputera, sebelum diperhalusi dengan perbincangan bersama menteri-menteri berkaitan, ahli-ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, sebelum diluluskan dan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan ini.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi parti, berkata usul-usul yang dibawa ke K-PAU, konsisten dengan isu-isu yang sering dibahaskan di perhimpunan agung, cuma ia memberi lebih ruang dan peluang kepada masyarakat supaya kehendak mereka turut didengari pemimpin tertinggi.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan haram (Bersih) di ibu kota semalam, Hishammuddin berkata kehendak penganjur yang sering berubah setiap kali mengadakan perhimpunan itu akan sedikit sebanyak mencemarkan kredibiliti mereka kerana tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Tuntutan itu tidak realistik dan saya terlibat dalam Bersih 1, 2 dan 3 (ketika menjadi Menteri Dalam Negeri), tuntutan sering berubah. Pada setiap kali
kita akan melihat mereka mengubah tuntutan berdasarkan mood dan sentimen. Ini sudah tentu menimbulkan persoalan. “(Sebagai contoh)… Pilihan raya bersih? Bagaimana mereka boleh menang di  Selangor, Pulau Pinang… sekejap kata (pilihan raya) tidak bersih, tapi pada masa sama anda memimpin negeri yang melalui pilihan raya yang sama,” katanya.

Beliau berkata tuntutan mereka kini adalah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur, dan memandangkan mereka kini tersasar daripada matlamat asal, ini menjadikan mereka hilang kewibawaan.

Mengulas mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perhimpunan itu, Hishamuddin berkata apa yang dilakukan mereka lebih kepada “cakap tidak
serupa bikin”.

Beliau berkata masyarakat pasti dapat menilai sejauh mana kejujuran dan keikhlasan mereka berdua kerana sewaktu zaman Dr Mahathir dahulu, perhimpunan jalanan sedemikian sudah pasti tidak dapat dijalankan.

“Pada masa mereka memimpin dahulu, mereka tak layan demonstrasi jalanan, malah tindakan lebih drastik diambil. Tetapi hari ini mereka sendiri keluar bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang sebelum ini jelas masa dia (Dr Mahathir) (menjadi Perdana Menteri) tak dibenarkan,” katanya.

7c771927-d3ad-481c-a9b9-5681706a15df