Kekurangan Peruntukan Sukarkan Bakaj Wartakan 15 Empangan, Kawasan Tadahan Air

JOHOR BAHRU, 21 Nov — Kekurangan peruntukan dalam melaksanakan pengukuran sempadan yang memakan kos tinggi menyebabkan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) belum dapat mewartakan 15 empangan dan kawasan tadahan di negeri ini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, pewartaan empangan dan kawasan tadahan air adalah langkah perlu dalam melindungi dan memelihara sumber air.

mb-johor-sajNamun, sehingga kini, terdapat 15 empangan masih belum diwartakan iaitu Empangan Sungai Layang (Upper), Empangan Sungai Layang (Lower), Empangan Linggiu, Empangan Lebam, Empangan Juaseh, Empangan Gunung Ledang, Empangan Congok, Empangan Labong, Empangan Sembrong, dan Empangan Bekok.

Turut terbabit Empangan Machap, Empangan Gunung Pulai 1, Empangan Gunung Pulai 2, Empangan Gunung Pulai 3 dan Empangan Pontian (Ulu Choh).

Laporan itu berkata sejak 1994 hingga 2014, peruntukan perbelanjaan BAKAJ diuruskan oleh Bahagian Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), namun ia diberi hanya untuk aktiviti perkhidmatan, bekalan dan aset.

“Semakan audit juga mendapati BAKAJ telah mengambil inisiatif pada 2005 bagi mewartakan kawasan tadahan air.

“Bagaimanapun, sehingga kini usaha bagi mewartakan tadahan air yang telah dikenal pasti, masih belum selesai,” menurut laporan itu.

Laporan itu berkata kawasan tadahan yang tidak diwartakan di bawah Enakmen Air 1921 telah menyebabkan BAKAJ tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan menghalang pencerobohan daripada berlaku.

Selain itu, BAKAJ juga mengalami kesukaran dalam menentukan sempadan sebenar kawasan tadahan air kerana tiada petunjuk tertentu sebagai panduan bagi melaksanakan persempadanan had larangan kawasan empangan atau tadahan air.

Maklum balas BAKAJ bertarikh 13 Sept 2016 menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menyediakan pelan cadangan pewartaan dan mengemukakannya kepada Pejabat Tanah Daerah di samping melaksanakan pewartaan berdasarkan Enakmen Air 1921.

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara mengesyorkan BAKAJ agar mempercepatkan proses pewartaan itu bagi membolehkan pengawalan dan penguatkuasaan dijalankan bagi melindungi kawasan tadahan daripada pencemaran.

BAKAJ juga perlu mengambil tindakan untuk memperkasakan organisasi sebagai sebuah agensi kawal selia air berkesan, selaras dengan pindaan ke atas Enakmen Air 1921 yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara sumber air.

Dalam isu lain, BAKAJ juga didapati belum merangka perancangan atau usaha untuk menerokai sumber air alternatif sehingga tahun lepas.

Bagaimanapun, maklum balas BAKAJ bertarikh 13 Sept 2016, menyatakan pihaknya telah mengemukakan permohonan pada September 2016 kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN) bagi melaksanakan projek pembangunan sumber air alternatif pada 2017.

Dalam syornya, Ketua Audit Negara berkata BAKAJ perlu meningkatkan usaha menerokai secara aktif sumber alternatif dan mempercepatkan pelaksanaan projek dicadangkan dalam Kajian Sumber Air Negara (KSAN) dan Kajian Sumber Air Negeri Johor (KSANgJ) untuk memastikan ketersediaan bekalan sumber air mencukupi khususnya semasa musim kering.