Golongan Mudah Miskin Turut Terima Zakat Di Johor

ISKANDAR PUTERI 20 Nov. – Pemberian wang zakat di negeri ini tidak hanya terhad kepada golongan miskin tegar dan miskin tetapi juga golongan mudah miskin.

imagePengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, golongan mudah miskin itu bagaimanapun tidak termasuk dalam kategori miskin tegar.

“Sungguhpun kerajaan negeri telah mengumumkan pihaknya berada di landasan positif bagi mencapai situasi miskin sifar, namun ia adalah membabitkan golongan miskin tegar.

“Miskin ini terbahagi kepada banyak kategori iaitu miskin tegar, miskin dan juga mudah miskin di mana golongan mudah miskin ini juga melihatkan jumlah orang yang ramai,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr. Sheikh Ibrahim Salleh (Pas-Su­ngai Abong) berkaitan jumlah penerima zakat yang ramai bertentangan dengan kenyataan kerajaan negeri bahawa negeri ini ke arah mencapai miskin sifar.

Tambah Abd. Mutalip, menerusi had Kifayah (penelitian) Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), majoriti penerima zakat di negeri ini terdiri daripada kelompok penerima bantuan perubatan.

“Mengambil contoh kos ra­watan dialisis yang memerlukan belanja besar setiap bulan, kelompok ini antara yang dikategorikan sebagai golongan mudah miskin,” ujarnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-La­yang itu, pihaknya mengagihkan lebih RM109 juta bantuan zakat kepada penerima pelbagai kate­gori bermula awal tahun hingga 30 September lalu. – UTUSAN