Bas Percuma Diperluas Seluruh Negeri Tahun Depan

JOHOR BAHRU 20 Nov. – Sambutan memberangsangkan daripada rakyat tem­patan terhadap Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan perkhidmatan itu diperluaskan ke semua daerah di Johor mulai tahun depan.

15170869_10154342211088173_2748990097770476295_nKetua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Suhairi Hashim berkata, perkhidmatan itu akan diperluaskan kepada semua PBT melibatkan 50 laluan di seluruh negeri.

“Ketika ini perkhidmatan itu disediakan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan akan diperluaskan kepada semua PBT di Johor.

“Kawasan-kawasan yang telah dan akan terlibat termasuk Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kluang, Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, menerusi Bajet Johor 2017, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penambahan jumlah perjalanan dan jarak laluan BMJ melibatkan peruntukan RM21 juta.

Peruntukan itu merupakan sumbangan kerajaan negeri dan PAJ bertanggungjawab menyedia, menyelaras dan memantau satu-satunya perkhidmatan bas percuma khusus untuk warganegara.

Semasa diperkenalkan pada April 2016, perkhidmatan berke­naan hanya melibatkan 15 laluan di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Menurut Suhairi, langkah tesebut merupakan satu inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan beban sara hidup rakyat seperti diumumkan dalam bajet berke­naan.

“Perkhidmatan ini juga mampu meningkatkan jaringan pengangkutan awam yang selesa serta efisien di seluruh Johor,” kata­nya sambil menambah kerajaan ne­geri tetap komited untuk terus memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat.