5,732 Perwakilan UMNO Sertai Perhimpunan Agung 2016

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Seramai 5,732 perwakilan UMNO dari seluruh negara dijadual menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula 29 November ini.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, 2,762 hadir untuk perhimpunan agung, manakala bagi Perhimpunan Pergerakan Wanita seramai 993 orang, Pemuda (992) dan Pergerakan Puteri akan disertai 991 orang perwakilan.

“Seramai 44 wakil daripada 12 parti dari 10 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan seramai 78 anggota perwakilan dari 80 Kelab UMNO Luar Negara dan tujuh badan perhubungan negara juga akan hadir.

Seramai 1,193 petugas media dari 48 agensi media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan perhimpunan itu,” katanya dalam sidang media di sini petang tadi.

 Tambahnya, Laman Media diwujudkan di aras dua PWTC bagi menempatkan semua media massa sebagai satu perkampungan dengan infrastruktur dan kemudahan petugas media membuat liputan sepanjang perhimpunan tersebut.

“Sidang media akan diadakan di bilik Melor dan bilik Pulau Pinang untuk kegunaan Naib presiden dan Ketua Pergerakan Sayap serta pemimpin tertinggi parti,” ujarnya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO akan bermula pada 29 November sehingga 3 Disember dengan dimulai dengan Majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka pada jam 2.00 petang diikuti dengan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka pada jam 8.00 malam.

“Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun ini diadakan di Dewan Merdeka, Pergerakan Wanita di Dewan Tun Hussein Onn manakala Pergerakan Puteri diadakan di Dewan Tun Dr Ismail yang didakan serentak pada 30 November.

Upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa dan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 1 Disember Di Dewan Merdeka pada jam 8.00 pagi oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO sendiri,” ujarnya lagi.