Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor Beri Pendedahan, Latihan Kepada Kontraktor – Hasni

JOHOR BAHRU, 20 Nov — Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor seperti mana diumumkan dalam Bajet Johor 2017 baru-baru ini akan memberi pendedahan dan melatih para kontraktor pada projek-projek mega di negeri ini.

YB-hasni-800x445Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohamad berkata pusat yang akan diwujudkan itu diharap dapat menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan, peluang dan persekitaran industri melalui Pelan Induk Pembangunan Kontraktor.

“Sebanyak 91 peratus daripada keseluruhan projek bernilai RM22.7 bilion yang dibangunkan di Johor tahun lepas melibatkan pihak swasta manakala selebihnya merupakan projek kerajaan.

“Menyedari perkara ini, pihak kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor…bertujuan menyahut cabaran dalam memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dr Boo ingin tahu jika kerajaan negeri atau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ada melakukan usaha untuk memastikan rakyat termasuk juruteknik industri mendapat peluang pekerjaan, hasil limpahan projek-projek besar di negeri ini.

Hasni berkata kerajaan negeri juga mengadakan beberapa program untuk memastikan rakyat Johor mendapat manfaat sebaik-baiknya daripada projek
berkenaan termasuk Program Pentauliahan Penyelia Tapak Binaan dan Seminar Pemantapan Kualiti Kontraktor.

“Pada tahun ini sahaja, hampir RM1.5 juta telah dibelanja untuk program tersebut dan kita akan terus bekerjasama dengan institusi-institusi latihan bagi
memperkasakan rakyat setempat,” katanya.