Pemuda Sambut Baik Bajet Johor 2017 Yang Berpaksikan “Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera”

JOHOR BAHRU, 18 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik pembentangan Bajet negeri itu bagi tahun 2017 kerana bajet tersebut dilihat berpaksikan “Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera”.

Ketua pergerakan tersebut, Hahasrin Hahsim berkata, bajet yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin itu telah distruktur dengan baik, cakupannya seimbang dan menyeluruh, serta mempunyai misi yang cukup jelas, iaitu membangunkan kemakmuran material, mewujudkan kesejahteraan sosial, dan memperkasa potensi insan di Negeri Johor.

hahasrin“Oleh itu, Pemuda Johor menzahirkan nada yang sama dengan Menteri besar di dalam memacu negeri ini kearah kuasa besar ekonomi selatan.

“Sektor keusahawanan yang diperkukuhkan melalui bajet kali ini juga memberi satu roh yang baru kepada usahawan kecil dan sederhana untuk terus tampil kompetitif, sejajar dengan permintaan global. Strategi ini dapat diihat di dalam Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ), di mana cakupannya meliputi 10 daerah di Negeri Johor dengan 10 inisiatif fokus, agar setiap daerah di Johor membangun dengan rancak, sesuai dengan kebitaraan masing-masing,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Selain itu tambah Hahasrin, Pemuda Johor juga menyambut baik cadangan Menteri Besar di dalam mewujudkan pekerjaan bermutu untuk rakyat Johor, di mana program seperti Iskandar Malaysia Professional Fund (IMProF) mampu melatih tenaga mahir di Iskandar Malaysia mengikut keperluan semasa dan akan datang.

“Kami juga menyokong Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam cadangan beliau untuk mengwujudkan Tabung Latihan Kemahiran Johor. ini adalah bertujuan mengukuhkan agenda pendidikan TVET, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, yang akan melibatkan 2,500 pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di institut-institut kemahiran dalam negeri Johor.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah apabila golongan belia turut menerima limpahan manafaat daripada bajet ini. Kami Pemuda sebulat suara menyokong cadangan Menteri Besar di dalam pembangunan belia di negeri ini melalui program – program dan insentif seperti pengenalan 10% kuota pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada golongan belia.Inilah yang anak muda harapkan,” ujarnya lagi.