Nazmi Dibeli Untuk Dipinjamkan

JOHOR BAHRU 16 Nov. – Bintang tengah Nazmi Faiz Mansor kini sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi dia tidak akan beraksi dalam kancah bola sepak tempatan musim depan.

imageJDT sebaliknya mempunyai perancangan untuk menggilap bakat pemain yang berhijrah daripada pasukan Selangor itu dengan meminjamkannya kepada kelab luar negara, dengan Jepun menjadi destinasinya pada 2017.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata perancangan menghantar Nazmi ke Negara Matahari Terbit adalah untuk membolehkan Nazmi mengumpul pengalaman beraksi di tahap tinggi.

“Kami mempunyai perancangan untuknya. Untuk persaingan musim depan, dia akan dipinjamkan kepada kelab di Jepun untuk mengumpul pengalaman yang diperlukan untuk beraksi pada tahap tinggi.

“Pada waktu ini pihak pengurusan masih belum mengenal pasti kelab mana dan perbincangan lanjut mengenai hal tersebut sedang diteruskan,” katanya semasa sesi bersama penyokong dan media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.
Tunku Ismail berkata pemain itu akan kembali menyarung jersi Harimau Selatan apabila JDT berasakan pemain itu telah menimba pengalaman yang diperlukan.

Tunku Mahkota Johor juga memberitahu bahawa JDT telah mendapat tawaran daripada pasukan lain yang ingin mendapatkan lebih daripada 10 pemain kelab tersebut untuk menghadapi persaingan musim depan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pemain kelab itu yang mahu menerima tawaran berkenaan, pihaknya tidak akan menghalang mereka untuk berhijrah.

“Jika mereka (pemain) mahu berhijrah, saya perlu terima kerana ini merupakan asam garam dalam sukan bola sepak dan kelab ini bukan sebuah penjara,” tegasnya.

JDT juga, katanya, bakal mengurangkan perbelanjaan sebanyak 50 peratus musim depan setelah berbelanja besar beberapa tahun lalu.

“Kami telah banyak berbelanja dalam tempoh tiga tahun sejak 2013, dan tahun depan adalah masa untuk kembali mengukuhkan kedudukan kelab khususnya dalam aspek kewangan.

“Kami perlu bersikap realistik dan bukan emosional, sekiranya terdapat tawaran yang berbaloi untuk mana-mana pemain kelab ini, saya akan mempertimbangkannya (untuk dijual),” katanya.

-Utusan