#BajetJohor2017- Johor Pesat Membangun Jadi Kuasa Ekonomi – Khaled

KOTA ISKANDAR, 17 Nov – Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan strategi-strategi khusus ke arah menjadikan negeri itu satu lagi kuasa ekonomi tanah air.

khaled-bajet1Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pentadbirannya bukan sekadar ingin menjadikan negeri itu kuasa ekonomi baru Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

“Pencapaian ekonomi Johor saban tahun membuktikan kitaberada pada landasan yang kukuh,” katanya.

Antara strategi yang digariskan oleh Mohamed Khaled termasuk pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), strategi khusus menarik pelaburan asing dan domestik, pembangunan bioekonomi dan hab halal.

“Tahun 2017 akan menjadi ‘tahun pecutan’ untuk Johor. Segala strategi dan pelan tindakan dalam PPSJakan disegerakan pelaksanaannya dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, agar setiap daerah di Johor membangun dengan rancak, sesuai dengan kebitaraan masing-masing.

“Kerajaan negeri juga akan memantapkan peranan Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC), di samping meningkatkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menganjurkan lebih banyak misi pelaburan berfokus di negara seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, India dan Timur Tengah,” tambahnya.

Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM700 ribu untuk kajian ‘DNA Bioekonomi Johor’ bagi memperkasakan industri bioteknologi menerusi strategi memajukan aktiviti hiliran.

“Mengambil kira kedudukan Johor sebagai negeri ketiga terbesar di Malaysia dalam bidang pertanian, adalah penting untuk kita membangunkan potensi bioekonominya.

“Ini akan dilakukan tanpa menjejaskan kelestarian aspek bioniaga dan biohijau negeri,” tambahnya lagi.

Untuk pembangunan Hab Halal, peruntukan RM5 juta juga diumumkan untuk membangunkan Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab).

Ia dijangka dapat menyiapkan pra-pengoperasiannya menjelang suku ketiga tahun depan dan menawarkan kepakaran pensijilan serta analisis halal bagi tujuan akreditasi untuk pelanggan tempatan dan antarabangsa.