RENCANA: Mencerna Kata Hati Pemimpin UMNO Johor

WALAUPUN sedikit terganggu dengan sikap angkuh seorang pemandu ke­­reta mewah semasa memasuki pekarangan Hotel Holiday Villa, Johor Bahru semasa ingin menghadiri majlis perasmian Konvensyen UMNO Johor 2016, baru-baru ini, namun suasana meriah termasuk berjumpa ramai kenalan berjaya menenteramkan perasaan.

imageNamun sebaik memasuki dewan besar hotel berkenaan tempat acara bersejarah itu berlangsung, penulis yang kebetulan memakai baju merah turut ‘tenggelam’ da­lam gelombang warna merah pemimpin UMNO yang hadir.

Nyata malam itu turut dianggap pencetus gelombang kebangkitan semula obor perjuangan UMNO untuk membawa orang Melayu dan tanah air bertuah Malaysia ini ke persada terbaik dunia.

Malah, semasa mendengar ­amanat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun ­Hussein yang merasmikan konvensyen berkenaan, nyata cucu pengasas parti terbesar Melayu yang kini menjangkau usia tujuh dekad berjaya meniupkan semangat baharu kepada semua pemimpin dan anggota yang hadir.

Menurut beliau, sekiranya UMNO ingin menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, maka gelombang kebangkitan parti itu harus bermula dari Johor yang menjadi tempat lahirnya parti tersebut supaya menjadi inspirasi kepada gerakan serupa di negeri-negeri lain.

“Johor mesti menjadi inspirasi bukan sahaja untuk mengekalkan kuasanya, malah memerintah dengan lebih cemerlang. Jika UMNO ditolak di Johor, maka parti itu akan ditolak di seluruh negara dan apa lagi yang boleh dipertahankan jika parti itu tidak diterima di tanah kelahirannya.

“Masa depan UMNO sebenar­nya berada di sini. Johor adalah nadi dan nafas UMNO,” tegasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

Seperti diakui Hishammuddin, walaupun sibuk dengan tugasan serta terpaksa menyalin pakaian di dalam kenderaan bagi memastikan sampai pada masa yang dijanjikan, namun hati dan jiwanya tetap ­ingin bersama-sama dalam kalangan pemimpin UMNO pada malam itu, apatah lagi dijemput oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk me­rasmikan konvensyen berkenaan.

Malah lebih tiga kali beliau menyebut bahawa baju merah yang dipakainya malam itu tetap ­merah menyala sebagai memberi ­bayangan semangatnya yang kental untuk terus berjuang dalam parti berkenaan apatah lagi UMNO diasaskan oleh nenda beliau.

Jika Hishammuddin amat ber­se­mangat, Mohamed Khaled pula berikrar dan berterus terang dalam ucapan beliau. Nyata Menteri Besar Johor ini berjaya membawa pemimpin dan anggota UMNO menghayati misi perjuangan beliau di dalam parti tersebut walaupun tidak pernah surut daripada ­pelbagai isu, termasuk yang hangat diperkatakan sebelum ini apabila ada gerakan untuk ‘mengganggu-gugat’ kedudukan beliau sebagai peneraju pentadbiran negeri ini.

Beliau mengakui untuk memilih tidak meninggalkan parti ­keramat Melayu itu kerana tanggungjawabnya terhadap UMNO dan orang Melayu.

“Saya tidak sama sekali memilih untuk kekal dalam UMNO kerana kedudukan dan cita-cita untuk ­terus menjadi pemimpin. Saya be­­rasa terpanggil membetulkan ketirisan yang merugikan orang ­Melayu selama ini.

“Saya berasa amat tidak bertanggungjawab jika meninggalkan UMNO tatkala orang Melayu mempunyai masalah sikap, pemikiran dan ketirisan seperti ini,” tegas beliau yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Malah, Hishammuddin turut menyampuk dengan berkata: ­“Teruskan Khaled, saya akan sentiasa berada di belakang, menyokong.”

Semua mengakui pendekatan Mohamed Khaled dengan Muafakat Johor semakin berjaya menya­tupadukan rakyat berbilang kaum di negeri ini dan membawa misi menjadikan orang Melayu yang lebih baik dari segi sikap dan pemikiran mereka.

Beliau turut memberi mesej jelas kepada orang Melayu bahawa sekiranya UMNO ditolak dalam PRU akan datang tiada jaminan keadaan mereka akan menjadi lebih baik jika sikap dan pemikiran masih tidak berubah.

“Boleh diibaratkan seperti kereta dan pemandu yang ­sering kemalangan. Tukarlah kereta apa sekalipun, Proton, Honda, Mercedez-Benz atau BMW, kalau pemandu itu tidak cekap, lalai, tidak bertanggungjawab, tidak ada maknanya.

“Jadi yang perlu ditukar bukan kereta, tetapi sikap dan cara pemandu itu. Begitu jugalah kita yang perlu berubah dan diubah sebenarnya adalah pemikiran, sikap dan budaya Melayu itu. Bukannya parti yang menjadi wadah orang Melayu berjuang,” tegas beliau.

Walaupun berjaya mengembalikan sokongan orang Melayu, Cina, India dan etnik lain yang ada di negeri ini, namun Mohamed Khaled harus berani untuk membawa perubahan lebih besar, iaitu mengubah sikap dan pemikiran pemimpin di bawah beliau, khususnya dalam kalangan pemimpin UMNO.

Untuk menang 26 kerusi Parlimen, 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau harus juga berani berterus-terang dengan mengatakan ‘tidak’ atau ‘beri peluang orang lain’ kepada pemimpin atau wakil rakyat yang sudah tidak mendapat sokongan pengundi dan rakyat.

Lebih baik berterus-terang daripada menangisi kekalahan pada PRU nanti. Jadi, semua mesti mencerna dengan baik kata hati dan misi dua pemimpin besar Johor ini.

 

Rencana: Utusan Malaysia, 15 November 2016