Pengurusan Berhemat, Agihan Hasil Menyeluruh Teras Johor Capai Belanjawan Cemerlang – MB

JOHOR BAHRU, 15 Nov — Pengurusan kewangan berhemat serta pengagihan hasil kepada segenap rakyat merupakan antara teras yang membolehkan Johor mencatatkan rekod cemerlang dalam belanjawan selama tiga tahun berturut-turut.

screen-shot-2016-11-16-at-12-39-56-amMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedudukan fiscal yang kukuh di samping kekal berdaya saing menjadi pemangkin pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor yang baik.

“Johor menjadi penyumbang keempat terbesar KDNK negara, merekodkan pertumbuhan terkumpul bagi tahun 2014 dan 2015, sebanyak 8.5 peratus.

“Pertumbuhan itu melebihi rekod nasional pada enam peratus berbanding pencapaian Johor pada kadar 6.5 peratus bagi tahun 2014, dan 5.0 peratus berbanding 5.6 peratus tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan adalah sempena pelancaran sorotan rumusan pencapaian Bajet Johor 2014-2016.

Beliau berkata pencapaian itu membolehkan Johor berada di kedudukan keempat selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak, dari aspek pertumbuhan KDNK tahunan.

Katanya, Johor turut menambah nilai pelaburan dalam sektor pembuatan dengan mencatatkan RM31.1 bilion pada 2015, berbanding RM21.1 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Mohamed Khaled berkata, bagi tempoh separuh pertama 2016, Johor memperoleh nilai pelaburan sebanyak RM5.4 bilion.

“Prestasi memberangsangkan itu adalah hasil asas ekonomi yang kukuh serta polisi mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Ia turut dibantu faktor kadar pengganguran yang rendah pada kadar 3.1 peratus serta kerancakan koridor ekonomi dan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang,” katanya.

Selain memberi perhatian kepada aspek pembangunan dan kemajuan fizikal, perbelanjaan bajet negeri itu akan turut ditumpukan kepada perkara asas yang dekat di hati rakyat, termasuk meneruskan agenda ekonomi bersifat inklusif serta berteraskan kesejahteraan rakyat.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri menggariskan 11 usaha utama yang telah dan akan terus dilaksanakan Johor termasuk meringankan beban rakyat dalam menangani kos sara hidup, penyediaan rumah mampu milik, kemudahan infrastruktur, pembangunan usahawan serta penambahbaikan prasarana pendidikan Islam.

Menurut beliau, sepanjang tiga tahun ini, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan beberapa pemboleh bagi memastikan matlamat pembangunan jangka panjang tercapai.

Antaranya, pengenalan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada setiap pengerusi jawatankuasa negeri, memantapkan operasi Pengangkutan Awam Johor (PAJ), mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kawasan Pengerang serta persempadanan semula empat buah PBT.