RM1.9J Bina Jalan Asas Di Kluang

KLUANG – Kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1.9 juta bagi membina kemudahan infrastruktur 18 jalan asas di Tanah Ladang CEP Nyior, di kilometer 12, Jalan Niyor ke Chamek, dekat sini.

image-1Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek jalan asas itu dijangka dibina bermula tahun hadapan bertujuan menghubungkan kawasan penempatan baharu penduduk ke kawasan tapak gantian di ladang tersebut.

Beliau berkata, projek infrastruktur itu juga akan membolehkan rumah dibina di kawasan penempatan baharu itu melibatkan 117 pemohon tapak gantian Setinggan KTM dari Kampung Sathiya dan Kumpulan Gerakan Selamatkan Kampung India Mengkibol (G-Skim).

“Kerajaan fahami kehendak sesuatu kawasan penempatan baru yang baru dibuka, perlukan pelbagai kemudahan asas dan jalan adalah kemudahan asas utama bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan baik.

“Maka dengan itu, kerajaan bersetuju luluskan peruntukan RM1.865 juta bagi membina dan menaik taraf jalan asas hubungkan kawasan penempatan baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hak Milik Tapak Gantian Setinggan KTM Kampung Sathiya di Taman Kluang Indah, dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Jais Sarday.

Dalam majlis itu seramai 117 pemohon tapak gantian Setinggan KTM Kampung Sathiya dan Kumpulan G-Skim menerima geran hak milik tanah.

Mohamed Khaled berkata, kawasan penempatan baharu itu merupakan tapak gantian kepada permohonan penduduk di Kampung Sathiya, yang ditolak kerajaan kerana tidak mendapat kelulusan dari Jabatan Teknikal pada 2013. (Sinar Harian)