Punca kebakaran HSA dibentang kepada Sultan Johor – Ayub

JOHOR BAHRU, 13 Nov: Kerajaan Johor, hari ini, membentangkan dapatan dan laporan mengenai punca kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

MAJLIS PERASMIAN MINI KARNIVAL SUNGAI SKUDAI 2016Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan punca kebakaran itu.

Katanya, laporan punca kebakaran HSA sepatutnya sudah dibentangkan di Kabinet, namun semalam beliau dimaklumkan ia akan dibentang dalam tempoh dua minggu lagi berikutan laporan menyeluruh perlu dilakukan.

“Saya difahamkan kementerian akan umumkan hasil kajian punca kebakaran itu selepas ia dibentang di Kabinet. Sepatutnya ia sudah dibentangkan tetapi semalam saya dimaklumkan ia memerlukan lagi dua minggu untuk buat laporan keseluruhan dibuat.

“Pagi tadi saya menghadap Tuanku untuk membentangkan laporan berkenaan punca. Saya tak boleh sebut (umumkan) tetapi saya sudah maklum pada kerajaan negeri (Menteri Besar) dan persembahan pada Tuanku tentang punca, (manakala) berkenaan pengumuman, kementerian akan umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mini Karnival Sungai Skudai di Taman Tampoi Indah di sini, semalam.

Sumber – Berita Harian