Konsep Muafakat Johor Perlu Difahami Bagi Menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan

PASIR GUDANG, 12 Nov – Konsep Muafakat Johor yang dibawa oleh Kerajaan Negeri harus difahami, dipegang, diamalkan dan dipertahankan oleh seluruh rakyat di negeri ini bagi menjayakan gagasan Johor Berkemajuan.

img_0915-900x506Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara penting dalam konsep Muafakat Johor adalah kesanggupan bekorban, berkompromi dan berlebih kurang antara satu dengan yang lain.

“Kita mahu dalam konsep Muafakat Johor, setiap anak Johor sanggup berkorban, berlebih kurang dan berkompromi antara satu dengan yang lain kerana manfaatnya banyak dan ada untuk semua kaum.

“Muafakat Johor itu merupakan permuafakatan yang dibina atas dasar bertolak ansur, mendapat sesuatu dan pada masa yang sama melepaskan sesuatu.

“Kena faham apa itu makna muafakat ada kompromi ada tolak ansur ada dapat sesuatu, kene lepaskan sesuatu, masyarakat kaum lain ada dapat juga (bantuan) daripada Kerajaan Negeri, orang Melayu kene sokong, begitu juga kaum Melayu dapat sesuatu, kaum lain juga kena sokong,” katanya.

Jelas beliau, bagaimanapun pengorbanan itu bukan bermaksud mengorbankan segala-galanya yang ada pada sesuatu kaum.

“Setiap orang diminta membuat pengorbanan tetapi tidak ada seorang atau mana-mana etnik pun yang diminta mengorbankan semua sekali. Itulah yang dimaksudkan dengan Muafakat Johor pada hari ini, dalam usaha menjayakan Johor Berkemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program YDP Turun Padang, Muafakat Mesra Zon Mawar di Taman Mawar, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, konsep muafakat adalah kekuatan Johor dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa-masa yang mencabar selain membawa negeri ke tahap yang lebih baik.

“Kalau kita dapat lahirkan muafakat di semua tempat maka saya percaya kita akan dapat membina kekuatan.

“Kedua, kita perlu melonjak pencapaian kita. Johor berada pada asas yang baik dan kukuh tetapi tidak cukup, kita mesti lonjakkan pencapaian kita dan muafakat antara rakyat sangat penting,” katanya.

Ujar beliau lagi, konsep muafakat itu tidak boleh dipandang ringan dan mudah kerana jika ia tidak dihayati dan diamalkan boleh mencetuskan bencana kepada negeri.

Katanya, jika tidak dihayati, perkara yang boleh mengancam permuafakatan antara kaum boleh berlaku tanpa mengira tempat dan masa.

“Kita perlu usahakan dan sarankan nilai muafakat ini sepanjang masa kerana kita tahu soal-soal yang boleh mengancam kerjasama dan muafakat antara kaum ini boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa.

“Ada sesetengah tempat ia kuat dan kukuh, ada setengah tempat ia rapuh. Misalnya malam tadi berlaku di Endau, pergaduhan antara belia Melayu dan belia Cina. Jadi muafakat, perpaduan kerjasama ini tidak datang secara automatik. Kadang-kadang di sesetengah tempat ia rapuh. Atas sebab itu kita tidak boleh ambil mudah.

“Apabila sudah menjadi satu gagasan Kerajaan Negeri, setiap masa perlu menghayati dan sentiasa berusaha mencapai dan menjayakan perkara ini. Jika ambil mudah, boleh berlaku (pergaduhan) di kalangan masyarakat,” katanya.