Masyarakat Islam Dunia Perlu Bersatu Kecam Tindakan Ektremis Keagamaan

JOHOR BAHRU, 10 Nov — Seluruh masyarakat Islam perlu bersatu dan tidak berdiam diri sekiranya terdapat tindakan ekstremis keagamaan yang dilakukan di mana-mana negara termasuk di Amerika Syarikat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Amerika adalah kuasa besar dunia yang memperjuangkan hak asasi manusia dan tentunya tidak akan membiarkan apa jua dasar bertentangan dengan perkara itu.

14993310_1480274002002642_571792987831525191_n“Kerajaan akan terus memantau perkembangan di Amerika Syarikat selepas kemenangan Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, dan mana-mana pihak yang mahu memainkan sentimen agama. Ini kerana majoriti rakyat dunia cintakan keamanan dan keharmonian.

“Masyarakat majoritinya sudah sampai ke tahap kematangan, kita sudah bersedia hidup dalam kepelbagaian agama dan bangsa serta sebagainya yang mengiktiraf dan menghormati setiap kepelbagaian agama dan hak setiap warga mengamalkan agama masing masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan rakyat dunia khususnya masyarakat Islam berikutan kemenangan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu

Terdahulu, Asyraf Wajdi yang juga Anggota Majlis Tertinggi dan Pengerusi Biro Agama UMNO Kelantan, menyampaikan syarahan bertajuk ‘Islam-Pemacu Gelombang Ketiga Kelangsungan UMNO’ pada hari pertama Konvensyen UMNO Johor 2016, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata rakyat Malaysia harus kekal setia dengan asas-asas yang membina negara dan jangan mudah terpengaruh dengan propaganda yang mahu meruntuhkan keharmonian dan kestabilan tanah air ini.

Mengenai UMNO, beliau menyeru anggota agar jangan membiarkan perkara-perkara picisan dan remeh menyelubungi perjuangan parti sehingga lupa masa depan dan hala tuju negara, agama dan bangsa.

“Kita harus belajar daripada sejarah ketamadunan lampau, kejatuhan tamadun Islam yang hebat dahulu akibat kegagalan setiap pendukung dan warganya berpegang pada prinsip perjuangan dan leka terhadap apa mereka capai dan akhirnya kalah bukan kerana musuh kuat tetapi kerana kita lemah.

“Kita tidak kata pemimpin kita semuanya sempurna, dia juga manusia biasa yang ada kelemahan dan kekurangan tetapi paling penting, kita menyokong kerana institusi parti…kalau ada tidak betul, kita tegur dengan cara penuh adab mengikut apa agama kita ajarkan,” katanya.