Kabinet Bayangan : Pembangkang Ulangi Skrip Lama

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Ledang, Datuk Dr Ir Hamim Samuri percaya kabinet bayangan yang diwar-warkan oleh pembangkang tidak lebih sekadar ulangan skrip lama di mana pada akhirnya nanti senarai tersebut akan ghaib entah ke mana.

unknown-24Jelasnya jika pembahagian kerusi pun mereka tidak mampu menyelesaikannya apatah lagi kabinet bayangan yang membabitkan soal jawatan dan kuasa.

“Namun begitu kita mengalu-alukan jika benar kali ini mereka cukup berani untuk senaraikan. Sekurang-kurangnya rakyat juga ingin tahu siapa yang pegang jawatan tertentu dan siapa pula timbalannya dan siapa pula calon mereka selebihnya.

“Namun jika mereka gagal maka ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kita kerana sememangnya mereka bjiak bermain retorik palsu,” katanya.

Ketua sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata konvensyen mereka pada 12 November depan akan memberi petunjuk terhadap barisan kepimpinan pembangkang untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Katanya, mungkin ada persetujuan antara parti-parti pembangkang dan di luar gabungan itu – yang akan memberi petanda secara tidak langsung berkaitan bentuk kepimpinan yang akan ditawarkan kepada rakyat.

Ir Samuri seterusnya menegaskan kabinet bayangan mereka akan menunjukkan sejauh mana tahap kepercayaan antara satu dengan yang lain memandangkan sebelum ini mereka dilihat amat sukar untuk mencapai kata sepakat kerana dibatasi oleh kepentingan masing-masing.

“Sekadar ungkap dan sekadar cadangan ianya amat mudah namun sejauh mana keupayaan dan sejauh mana keberkesanan dan sejauh mana mereka akan mendapat persetujuan bersama dalam konteks berkenaan. Kunci utama adalah kepercayaan antara satu dengan yang lain yang setakat hari ini jelas kesepakatan mereka sering dibayangi agenda kepentingan sempit masing-masing,” katanya.-MediaUMNO