Konvensyen Agenda Pemerkasaan Ummah Bincang, Perhalusi 681 Usul Seluruh Bahagian – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Konvensyen Agenda Pemerkasaan Ummah akan diadakan sekali lagi pada tahun ini menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO 2016 sebagai platform untuk menyelaraskan usul-usul dan juga mengambil pandangan ‘stakeholders‘ lain untuk dibahaskan pada perhimpunan agung UMNO yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Konvensyen Pemerkasaan Agenda UmmahNaib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sekiranya berjalan lancar suara daripada akar umbi dan pandangan setiap lapisan masyarakat yang berkepentingan akan diambil kira dalam perbincangan serta perbahasan dalam perhimpunan kelak.

“Ini penting kerana kita dah naik taraf perbincangan daripada meja bulat kepada konvensyen dan melalui ini kita dapat rumuskan dan dapat rasai denyut nadi akar umbi agar perhimpunan agung UMNO nanti betul-betul dapat dihayati akar umbi dan rakyat keseluruhannya.

“Seperti biasa usul yang diterima daripada bahagian berjumlah 681, usul yang diterima untuk rujukan 610, usul yang diterima tanpa bahas 171 dan tidak ada satu usul pun yang ditolak.

“Dari segi analisa mengikut kategori pindaan perlembagaan 10, berkisar kepada politik 108, ekonomi 29, agama 62, sosial 83, pendidikan 98 dan lain-lain 120. Semua ini akan kita rumuskan dalam konvensyen dan kemudian akan disalurkan kepada kluster usul seperti biasa iaitu ucapan dasar, ekonomi, pendidikan dan agama. Manakala pengerusi kluster telah kita tentukan dan insya allah kita akan gubal untuk dibahaskan pada perhimpunan agung nanti,“ katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat koordinasi konvensyen Agenda Pemerkasaaan Ummah, di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi akan diadakan pada 20 November ini, di PWTC.

Tambah Hishammuddin konvensyen ini adalah tahun kedua diadakan setelah mendapat maklum balas yang cukup positif atas kejayaan konvensyen tersebut pada tahun lepas.

“Sebagai Naib Presiden yang diamanahkan untuk lihat usul-usul yang mungkin dibahaskan pada perhimpunan agung UMNO, keputusan kita pada tahun lepas menggunakan konvensyen ini memberi peluang kepada kita untuk mendapat maklum balas daripada luar lingkungan parti

“Sebab itu saya tengok ini sebahagian daripada perjalanan kita menjelang perhimpunan agung UMNO selain penambahbaikan kepada sedia ada selain dapat memenuhi citrasa dan kehendak serta aspirasi bukan sahaja di kalangan ahli UMNO tetapi rakyat di luar sana,“ ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Konvensyen, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata ini ini merupakan tahun kedua yang mana ianya dilaksanakan dengan satu objektif untuk zahirkan bahawa UMNO ini bersifat inklusif.

“Selain itu, ianya juga memperlihatkan UMNO demokratik yang mendengar suara hati dan denyut nadi rakyat selain daripada struktur parti. Kita turut mengambil pandangan daripada kelompok berkepentingan iaitu akademik, ketua masyarakat, pemimpin NGO yang kita gembelengkan melalui konvensyen kerana mereka ini tidak ada tempat dalam perhimpunan agung UMNO namun turut berpeluang melalui konvensyen ini,“ katana. – UMNOOnline