Kekosongan Jawatan Timbalan Pengerusi Tidak Jejas Fungsi SPR – Razali

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Kekosongan jawatan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa ini tidak menjejaskan fungsi suruhanjaya berkenaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

razali_ibrahim17a-transformed-1Razali berkata kekosongan itu tidak menyalahi peraturan pembentukan suruhanjaya tersebut serta fungsinya.

“Pada masa ini pengisian bagi keanggotaan SPR ialah terdiri daripada seorang pengerusi dan empat anggota, dari segi peraturan kekosongan itu (timbalan pengerusi) tidak menjejaskan SPR,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini malam ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan persoalan dibangkitkan R.Sivarasa (PKR-Subang) mengenai kekosongan jawatan Timbalan Pengerusi SPR, sama ada menyalahi peraturan pembentukan suruhanjaya tersebut.

Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang sebelum ini, merupakan timbalan pengerusi SPR dilantik sebagai pengerusi baharu badan itu berkuat kuasa Januari tahun ini, dan sejak itu jawatan timbalan pengerusi belum diisi.

Sementara itu, Razali berkata pelantikan Mohd Hashim adalah selaras dengan fasal 1 dan 2 perkara 114 Perlembagaan Persekutuan iaitu SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan dan lima anggota lain.

Beliau turut menyangkal dakwaan pihak pembangkang yang mempersoal pelantikan Mohd Hashim yang sebelum ini bertugas sebagai setiausaha politik kepada menteri di dua kementerian, dan perkara itu mungkin akan menimbulkan persepsi berat sebelah dalam menjalankan tanggungjawabnya sekarang.

“Persepsi boleh wujud, tetapi saya merasakan tidak hanya kerana ini kita menghalang hak seseorang itu juga tidak adil,” katanya.

Razali berkata Mohd Hashim sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Belia dan Sukan pada 1990 hingga 1993, dan pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Persidangan dewan bersambung esok.